nabalunews
Permohonan Kepala Singa Sempena Tahun Baru Cina 2025 Kini Dibuka hingga 9 Disember 2024
9 November 2024
SANDAKAN: Kerajaan negeri Sabah akan mengagihkan kepala singa kepada persatuan atau kumpulan tarian singa di seluruh negeri, sebagai sebahagian daripada persiapan sambutan Tahun Baru Cina 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata permohonan kini dibuka sehingga 9 Disember 2024, termasuk bagi kumpulan yang berpusat di Sandakan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Frankie menyeru agar semua pertubuhan atau persatuan yang memenuhi syarat untuk menyertai pengagihan ini melengkapkan dokumen yang diperlukan dan mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup.
Bagi memudahkan urusan, borang permohonan, disediakan di Pusat Khidmat ADUN Tanjong Papat di Taman Grandview, atau di Pejabat ADUN Karamunting di Pasir Putih, Sandakan.
Permohonan yang telah dilengkapkan boleh dihantar ke satu pusat tersebut sahaja dan permohonan yang lewat tidak akan diterima.
Frankie menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah menyokong program ini selama beberapa tahun berturut-turut, sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemeliharaan budaya tradisional Cina serta untuk memupuk keharmonian antara kaum dan budaya di Sabah.
Commentaires