top of page
  • nabalunews

Permohonan lesen memburu buaya di Sabah dibuka sepanjang tahun


15 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dalam usaha mengimbangi populasi buaya di negeri ini, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah membuka permohonan lesen untuk memburu haiwan tersebut sepanjang tahun.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, pemburuan buaya dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan konflik manusia-buaya, selain mewujudkan industri berasaskan hidupan liar itu.


Berdasarkan rekod JHL Sabah, sebanyak 404 kes serangan buaya dilaporkan di Sabah antara 2019 hingga Mei 2024 dengan sebanyak 211 buaya ditembak mati dalam tempoh itu, manakala 42 mangsa terbunuh dan 23 cedera akibat diserang reptilia berkenaan.


“Ini satu cara untuk menjamin kelestarian industri buaya di Sabah. Bagaimanapun, maklum balas dari segi permohonan lesen masih pada tahap yang minimum ketika ini," katanya dalam ucapan penutupan Bengkel Mengurus Konflik Manusia - Buaya di Sabah anjuran JHL, di sini, semalam.


Pengeluaran lesen memburu buaya di Sabah bermula sejak kira-kira dua tahun lalu berikutan peningkatan kes serangan reptilia itu terhadap manusia yang dilaporkan di negeri ini.


Christina berkata, beliau percaya dengan memanfaatkan sumber semula jadi secara mapan, ia boleh mewujudkan peluang yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah.


"Saya berharap pendekatan ini bukan saja mengurangkan konflik (manusia-buaya) tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu seperti pelancongan dan pengeluaran barangan mewah, sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi tempatan. Sehubungan itu, pada masa depan, buaya tidak akan digeruni tetapi sebaliknya dihargai oleh masyarakat," katanya.


Bengkel dua hari itu yang dihadiri lebih 100 peserta antara lain membincangkan isu keselamatan manusia, kehidupan dan pemeliharaan buaya serta hubungan harmoni di antara manusia dan buaya di Sabah.


Comments


bottom of page