Permukiman Kerajaan Madani 2026 perkukuh penyelarasan dasar – Hajiji
- nabalunews
- 1h
- 1 min read

12 Januari 2026
KOTA KINABALU: Permukiman Kerajaan Madani 2026 membuka ruang penting untuk penyelarasan dasar serta memperkukuhkan kebersamaan dalam kalangan kepimpinan negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, permukiman berkenaan menjadi platform strategik bagi menyelaras dasar, bertukar pandangan dan memastikan kepentingan rakyat Sabah terus dibawa ke peringkat nasional.
“Saya turut membentangkan pandangan Sabah berkaitan isu semasa yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Pendekatan dialog dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan ini penting supaya setiap keputusan yang dibuat benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan pembangunan yang seimbang untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Hajiji mengetuai delegasi Sabah menghadiri Permukiman Kerajaan Madani 2026 selama dua hari yang berlangsung di Pusat Pembelajaran KWSP Bangi, Selangor bermula Sabtu (10 Januari).
Beliau berkata amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada permukiman itu turut menekankan kepentingan tadbir urus berteraskan rakyat, kestabilan politik serta kerjasama erat sebagai asas kepada kemajuan negara.
Turut serta dalam delegasi Sabah ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.














