Permulaan Usaha Rakyat Sabah Tuntut 40 Peratus Hak Sabah.
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

10 April 2026
KOTA KINABALU: Himpunan pertama yang dihadiri kira-kira 400 orang melibatkan 19 badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin politik adalah permulaan bagi menuntut hak 40 peratus Sabah daripada kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, rakyat Sabah amat berharap agar ada keputusan positif rundingan berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi pada Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, perkara itu kini ditangguhkan berikutan permohonan Kerajaan Persekutuan dibenarkan Mahkamah Rayuan.

“Rundingan sepatutnya selesai pada 15 April ini tetapi ditangguh selepas kerajaan Persekutuan memohon penangguhan di Mahkamah Rayuan dan permohonan itu dibenarkan
“Kami wakil rakyat sudah lama bersuara dan rakyat hanya dapat terjemahkan suara melalui peti undi, tapi kali ini kita mulakan dengan perhimpunan aman pada hari ini untuk meminta hak kita ditunaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Aman Justice4Sabah Hak 40 Peratus di Padang Merdeka, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Mojuntin dan ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin.
Madius berkata, perhimpunan aman itu adalah usaha untuk memastikan Putrajaya melaksanakan hak 40 peratus Sabah yang sudah hampir tercapai setelah lebih 50 tahun hak perlembagaan Sabah dinafikan.
“Mahkamah Tinggi kata hak 40 peratus itu masih wujud dan hari ini baru kerajaan Persekutuan kata mengiktiraf hak 40 peratus itu. Ini sikap kepimpinan, kalau boleh ia ditidakkan jika kita tidak menyuarakan secara konsisten.

“Apabila mahkamah memerintahkan kerajaan Persekutuan dan negeri berunding, barulah rundingan dibuat, tapi kini ditangguh lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Madius berkata, perhimpunan berkenaan mahu supaya rundingan mengenai pelaksanaan 40 peratus diteruskan dan rakyat Sabah dihebahkan dengan setiap perkara yang sudah dirunding.
“Kita minta rundingan diteruskan dan kita minta ketelusan, hebahkan kepada rakyat apa yang telah dirunding dan apa dipersetujui dan apa lagi tidak dipersetujui supaya rakyat juga boleh bantu. Kita mahu ketelusan,” katanya















Comments