top of page

Pernah jawab peperiksaan atas pokok, kini Veveonah pelajar perubatan

nabalunews

22 Disember 2024


KOTA KINABALU : Veveonah Mosibin yang pernah tular menerusi video ‘24 hours on tree’ kerana terpaksa memanjat pokok untuk menjawab peperiksaan secara online di Kampung Sapatalang, Pitas, ketika pandemik Covid-19 bagi mendapatkan capaian internet, sekali lagi menjadi tumpuan orang ramai kerana kegigihannya dalam akademik yang membuktikan anak-anak dari pedalaman Sabah mampu menggapai impian dan cita-cita meskipun berdepan kesukaran hidup.


Perkara itu susulan pelajar berkenaan, Veveonah Mosibin, 23, kini sedang menjalani pengajian perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam sejak 1 Oktober lalu selepas mendapat Ijazah Sains Marin dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.46 di Universiti Malaysia Sabah (UMS).


Menurut laporan akhbar tempatan, Veveonah memaklumkan sejak 2021 impiannya berubah dan dia lebih tertarik kepada bidang perubatan apabila mengharungi saat-saat sukar semasa pandemik Covid-19.


”Bidang Sains Marin perlukan lebih banyak pembelajaran secara praktikal, tetapi kami belajar semuanya dalam talian. Semasa sedang bergelut dengan kesukaran ketika itu, saya sedar hati lebih tertarik kepada bidang perubatan,” katanya.


Bagaimanapun, Veveonah tetap menamatkan pengajiannya dalam Sains Marin bagi memenuhi kontrak biasiswa.


”Kini sebagai pelajar tahun pertama kursus perubatan selama lima tahun, saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di MSU sambil dalam proses memohon biasiswa.


”Di sini saya ada kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang. Mereka sangat baik dan banyak membantu saya menyesuaikan diri. Dikelilingi orang yang bijak dan rajin menjadikan saya lebih bersemangat,” katanya.

Comments


bottom of page