Perpisahan Penuh Emosi Guru Besar SK Kaung, Encik Jimri Santi
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

17 October 2025
KOTA BELUD: Majlis perpisahan penuh penghargaan dan emosi diadakan bagi meraikan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung, Jimri Santi, yang akan berpindah ke sekolah baharu selepas hampir enam tahun berkhidmat sejak 9 Disember 2019.
Majlis bertemakan “Setulus Kasih Seindah Memori, Seluruh Budi Sejambak Kenangan” itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kaung sebagai tanda terima kasih atas kepimpinan dan jasa beliau sepanjang berkhidmat di sekolah tersebut.
Acara dimulakan dengan ketibaan tetamu jemputan serta nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Sabah, Tanah Airku. Pengerusi PIBG menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti dengan ucapan penuh makna daripada Jimri yang menzahirkan rasa syukur, penghargaan dan pesanan terakhir buat seluruh warga sekolah.
Sebagai tanda kenangan, PIBG turut menyampaikan cenderahati istimewa kepada beliau sebelum majlis diserikan dengan acara memotong kek dan persembahan nyanyian duet oleh guru-guru Cikgu Ablin Dumat dan Cikgu Vincent Dumat.
Majlis diteruskan dengan jamuan makan, sesi karaoke dan bersalaman bersama murid serta ahli PIBG sebagai simbol perpisahan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan, manakala warga sekolah menyampaikan pesanan terakhir buat Encik Jimri: “Terima kasih atas kebijaksanaan, kesabaran dan kebaikan yang dicurahkan. Semoga terus berjaya dan gembira di tempat baharu.”