Perpustakaan Perlu Terus Berevolusi Dengan Memanfaatkan Teknologi –Profesor Datuk Dr. Rossita
- nabalunews
- Apr 29
- 2 min read

29 April 2026
KOTA KINABALU: Perpustakaan disaran untuk terus berevolusi dengan memanfaatkan teknologi selaras dengan perkembangan pesat era digital, bagi memastikan perkhidmatannya kekal relevan dan berimpak kepada komuniti akademik.
Saranan tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Rossita Shapawi.
Menurut beliau, dalam era transformasi digital yang pesat, perpustakaan tidak lagi berfungsi sebagai repositori maklumat semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai hab dinamik yang memacu inovasi, kolaborasi serta pembangunan ilmu.

“Dalam era transformasi digital yang pesat, perpustakaan perlu terus berevolusi dengan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan dan sistem pintar bagi memenuhi keperluan komuniti akademik.
“Seminar ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kepimpinan perpustakaan serta meneroka pendekatan baharu yang lebih relevan dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Perpustakaan bertajuk “Empowering Library Leadership: Smart Systems, Collaborative Solutions and AI Innovation” yang dianjurkan oleh Jabatan Perpustakaan UMS, baru-baru ini.
Seminar tersebut diadakan bersempena Mesyuarat Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) yang menghimpunkan kepimpinan perpustakaan universiti awam dari seluruh negara, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta perkongsian amalan terbaik dalam kalangan institusi pengajian tinggi.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada OCLC Asia Pacific serta sokongan Sabah Convention Bureau dalam menjayakan penganjuran, termasuk penglibatan penceramah antarabangsa.
Seramai hampir 100 peserta terdiri daripada Ketua Pustakawan, pengarah, pustakawan dan pengamal bidang maklumat dari seluruh negara menghadiri seminar tersebut yang menampilkan barisan penceramah dari Amerika Syarikat, Taiwan, Thailand dan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Hj. Tiyunin berkata, penganjuran seminar tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkasa peranan perpustakaan sebagai pemangkin ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti.
“Perpustakaan UMS sentiasa berusaha untuk menjadi peneraju dalam transformasi perkhidmatan maklumat selaras dengan aspirasi universiti sebagai ‘The Brain of Borneo’.
“Melalui kolaborasi dan penerapan teknologi baharu, kualiti perkhidmatan serta impak kepada komuniti akademik dan masyarakat dapat dipertingkatkan.
“Penganjuran program ini diharap dapat mencetuskan idea baharu, memperkukuh jaringan profesional serta menyokong pembangunan perpustakaan akademik yang lebih dinamik, inovatif dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.
Seminar ini turut menjadi platform bagi membincangkan isu semasa termasuk pengurusan data penyelidikan, analitik penyelidikan, akses terbuka serta penggunaan teknologi dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan perpustakaan.















Comments