Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Belud terima sumbangan ADUN Kadamaian
- nabalunews
- Mar 26
- 1 min read

26 Mac 2025
KOTA BELUD: Persatuan Bulan Sabit Merah daerah ini amat menghargai sumbangan peralatan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick bagi menyokong aktiviti kemanusiaan badan berkenaan.
Pengerusinya, Richard Chua Theng Leong berkata, sumbangan berkenaan amat diperlukan bagi melancarkan aktiviti khususnya program derma darah.
Katanya, ketika ini, daerah Kota Belud masih mengalami kekurangan stok bekalan darah dan perlu memastikannya sentiasa mencukupi untuk keperluan pesakit di hospital.
"Kami amat menghargai sumbangan ini kerana ia akan membantu kelancaran program kami, khususnya dalam penganjuran kempen derma darah.
“Keperluan darah di hospital masih tinggi, dan kami berharap lebih ramai penderma akan tampil membantu," katanya.
Richard berkata, pihak Bulan Sabit Merah Kota Belud juga merancang beberapa program kesedaran bagi menggalakkan orang ramai untuk menyumbangkan darah secara berkala.
“Jadual penuh untuk aktiviti ini akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memastikan lebih ramai individu dapat menyertai.
“Saya mewakili seluruh ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Belud, merakamkan penghargaan kepada Ewon atas keprihatinannya dalam menyokong usaha kebajikan di daerah ini.
“Ini menunjukkan kepedulian beliau terhadap usaha kemanusiaan dan kesihatan masyarakat setempat," tambahnya.
Sementara itu, sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin.
Antara yang disumbangkan ialah kerusi, meja, dan kipas untuk kemudahan penganjuran kempen derma darah di masa akan datang.
Comentários