Persatuan Kebajikan Gerak Kerja Kunak Sumbang Bakul Makanan Ke Lapan Kampung Sekitar Kunak
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

1 Jun 2025
KUNAK: Persatuan Kebajikan Gerak Kerja Kunak hari ini, melaksanakan program tanggungjawab sosial dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di lapan kampung sekitar daerah Kunak.
Program Sentuhan Kasih yang diterajui Pengerusi Persatuan Kebajikan Gerak Kerja Kunak, Saudi Osman itu merupakan usaha berterusan dalam membantu masyarakat setempat yang memerlukan.
Inisiatif itu juga adalah hasil cadangan dan dorongan daripada Penasihat Persatuan, Datuk Basari Sarkun, yang sentiasa komited dalam memperjuangkan kebajikan rakyat khususnya di daerah Kunak dan Parlimen Lahad Datu.

Osman berkata, antara kampung yang menerima sumbangan termasuklah Kampung Hampilan, Kampung Kasnuri, Kampung Sungai Atas, Kampung Pangkalan Madai, Kampung Dasar Lama, Kampung Kunak 3, Kampung Jaya Baru dan Kampung Bagiang.
Katanya, setiap keluarga menerima satu bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan makanan dalam tin.
“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban golongan yang terkesan terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Kami percaya bahawa usaha sekecil ini pun boleh memberi makna besar kepada penerima. Terima kasih kepada semua yang turut menyumbang dan kepada Datuk Basari atas nasihat serta sokongan padu terhadap program ini,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan.
Menurutnya, program itu turut melibatkan sukarelawan dalam kalangan ahli persatuan serta penduduk setempat yang membantu dalam pengagihan dan pengurusan logistik.

“Persatuan Kebajikan Gerak Kerja Kunak merancang untuk meneruskan Program Sentuhan Kasih ini dari semasa ke semasa.

“Ia akan menyasarkan lebih banyak kampung dan keluarga yang memerlukan bantuan di masa hadapan,” katanya.
Comments