Persatuan Kebajikan Semangat Kasih Kota Belud (PKSKKB) Berazam Terus Berbakti demi Kesejahteraan Masyarakat
- nabalunews
- Sep 20, 2024
- 2 min read

20 September 2024
KOTA BELUD: Persatuan Kebajikan Semangat Kasih Kota Belud (PKSKKB) komited untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, dengan matlamat utama memperkukuhkan kesejahteraan sesama insan.
PKSKKB, yang kini dianggotai seramai 45 ahli, berusaha gigih dalam melaksanakan program-program kebajikan yang memberi fokus kepada penanaman semangat kasih sayang, keprihatinan, dan kepedulian terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
Persatuan ini juga berhasrat untuk membangunkan komuniti melalui usaha kolektif yang mengutamakan kesepaduan antara ahli persatuan dan masyarakat umum.
Mesyuarat Agung Kali Pertama PKSKKB Tahun 2024 telah diadakan pada Khamis di Dewan Skyblue, Pejabat ADUN Kadamaian, Kota Belud.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang juga merupakan Penaung Persatuan.
Antara yang hadir adalah Pengerusi PKSKKB, Caroline Carol Doruan, Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran, Pengerusi Kelab Permotoran Siou Otolikudan Borneo, Mujin Soborong, Penasihat PKSKKB, Lelyvia Mavid, Penolong Pengerusi PKSKKB, Priskila Akwila Senim, dan Justina Satimooi dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Moyog.
Dalam mesyuarat tersebut, matlamat persatuan telah diperincikan kepada semua ahli, yang antara lainnya adalah untuk menjaga kebajikan ahli, memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta individu-individu yang berpengaruh dalam usaha memperkasa masyarakat.
PKSKKB juga bertekad untuk menganjurkan pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat. Ini termasuk penyaluran bantuan dalam pelbagai bentuk dan mewujudkan jaringan persatuan yang lebih erat dengan masyarakat, sekaligus memupuk budaya saling membantu dan prihatin.
Pengisian program mesyuarat termasuk ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Persatuan, Caroline Carol Doruan, dan ucapan perasmian oleh Saikom Watis. Sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Penolong Pengerusi, Priskila Akwila Senim turut memberikan peluang kepada ahli untuk memberikan cadangan dan pandangan terhadap arah tuju persatuan.
Penasihat PKSKKB, Lelyvia Mavid, turut menyuarakan harapan beliau agar persatuan ini akan menjadi platform yang berdaya maju dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.
“Saya melihat PKSKKB sebagai sebuah NGO yang berpotensi besar untuk membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat. Harapan saya adalah agar semua ahli dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap aktiviti yang dianjurkan, demi mengangkat nilai-nilai kemanusiaan yang murni,” kata beliau.
Berkenaan dengan perancangan masa hadapan PKSKKB, Lelyvia berkata persatuan akan terus menganjurkan program-program ilmu yang bertujuan meningkatkan sosioekonomi masyarakat.
"PKSKKB merancang untuk menganjurkan program-program ilmu yang mampu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat serta mengenal pasti individu-individu yang memerlukan bantuan khusus. Kami juga merancang untuk mengadakan majlis makan amal pertama persatuan, bagi mengumpul dana untuk melaksanakan program-program kebajikan pada masa akan datang," tambah Lelyvia.
Dengan visi yang jelas dan usaha gigih semua ahli, PKSKKB berhasrat untuk terus memainkan peranan yang signifikan dalam membawa perubahan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya di daerah Kota Belud.
Comments