top of page
nabalunews

Persatuan Pendidikan Usahawan anjur kempen 'Heroes of Blood', sasar capai 400 pek darah


Joseph Chin

24 Sept 2021


KOTA KINABALU: Persatuan Pendidikan Usahawan mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 400 pek darah dalam kempen derma darah 'Heroes of Blood' yang akan berlangsung pada 26 September (Ahad) ini.


Ketua penganjur kempen, Joseph Chin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata pihaknya akan mengadakan kempen terbabit bertempat di Borneo Sports Arena (BSA) di Kolombong bermula jam lapan pagi sehingga lima petang pada hari tersebut.


Di samping itu, beliau berkata kempen ini merupakan usaha pihaknya bagi menggalakkan orang ramai datang menderma darah berikutan Sabah masih berdepan dengan jumlah bekalan darah yang agak kritikal terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini.


"Semasa pandemik ini melanda, majoriti organisasi telah kurang menganjurkan kempen menderma darah menyebabkan bank darah menghadapi masalah kekurangan bekalan darah.


"Selain menyediakan darah untuk pesakit talasemia untuk satu tempoh masa yang panjang, bank darah di hospital negeri ini juga memerlukan bekalan darah khususnya pesakit barah dan juga sebarang kejadian kecemasan.


"Oleh itu, pihak kita menyeru agar orang ramai datang dan menderma darah dalam kempen ini," katanya.


Dalam pada itu, Joseph turut berkata bagi penganjuran kempen ini, pihaknya telah menggunakan kawasan yang luas di samping prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan juga dipatuhi.


"Pihak kita membuat persiapan sepenuhnya untuk kempen ini. Selain menyeru orang ramai untuk membuat temu janji menerusi telefon, kita juga menyediakan tempat yang besar mengikuti zon dan prosedur.


"Selain itu, pihak kita juga melakukan sanitasi pembasmian kuman di tempat pelaksanaan program.pada setiap waktu untuk memastikan semua penderma darah berada dalam keadaan yang selamat.


"Kempen menderma darah ini juga dibantu Hospital Queen Elizabeth 2 dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas agar proses pendermaan darah berjalan dengan lebih lancar," katanya.


Memperincikan mengenai butiran prosedur individu yang ingin menderma darah di kempen berkenaan, pihaknya berkata penderma yang telah menerima dua dos lengkap vaksin diminta untuk menghubungi penganjur untuk membuat temu janji.


"Penderma yang ingin membuat temu janji untuk menderma darah boleh menghubungi

Lim Tze Jet di talian 0192118900 atau Themis di talian 0138866886," katanya.

Comments


bottom of page