Persenda lagu Negaraku, dua individu dirakam keterangan
- nabalunews
- Aug 13, 2025
- 1 min read

13 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung penyiaran video di media sosial yang didakwa mempersenda serta tidak menghormati lagu Negaraku.
SKMM menerusi satu kenyataan memaklumkan, sesi rakaman keterangan dijalankan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya, semalam.
“Satu unit telefon bimbit dan sekeping kad SIM turut disita bagi tujuan siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu.
SKMM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau memperlekeh lagu kebangsaan, selaras Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang mewajibkan setiap warganegara menghormati Negaraku.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menghormati lagu kebangsaan sebagai tanda kesetiaan dan cinta kepada tanah air, serta mengelak daripada melakukan atau menyebarkan apa-apa perbuatan yang boleh dianggap tidak menghormatinya,” tambah kenyataan itu.
Isnin lalu, seorang pempengaruh memohon maaf secara terbuka atas tindakannya yang dianggap tidak menghormati lagu Negaraku apabila merakam video dan dilihat bergurau ketika lagu kebangsaan dimainkan di sebuah acara.















Comments