top of page

Persiapan MTL: Sistem Pintasan Kecemasan Menerusi Telefon Pintar Diteliti - Fahmi

  • nabalunews
  • Oct 10, 2024
  • 1 min read

10 Oktober 2024


PUTRAJAYA: Sistem amaran banjir, khususnya untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), akan melalui penambahbaikan dengan memperkenalkan sistem pintasan kecemasan yang menghantar amaran terus ke telefon pintar melalui pesanan tetingkap timbul (pop-up alert), menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.


Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan penyebaran maklumat bencana, seterusnya memastikan orang ramai lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam.


Menurut Fahmi, beberapa negara lain telah berjaya melaksanakan sistem pemakluman bencana melalui pintasan kecemasan terus ke telefon pintar.


Langkah ini dilihat lebih efektif dan pantas, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada kaedah tradisional seperti sistem pesanan ringkas (SMS) atau penggunaan siren.


Selain itu, amaran yang dihantar melalui sistem ini lebih sukar untuk diabaikan oleh pengguna kerana ia terus muncul di skrin peranti mudah alih.


"Saya akan bincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) apa yang boleh dilakukan dengan syarikat telekomunikasi untuk membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


“Ini untuk memaklumkan rakyat terutama di sesuatu kawasan, selain daripada amaran siren banjir, mungkin melalui telefon mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini. Kita akan teliti kemudahan itu," katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini, lapor Bernama.


Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi

Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page