Persiapan sempena Majlis Moginakan Kiau dan Perasmian Rumah Budaya (Walai Mitapus Kiau) 2024 semakin rancak dijalankan
- nabalunews
- Sep 28, 2024
- 1 min read

27 September 2024
KOTA BELUD: Program gotong-royong persediaan sempena Majlis Moginakan Kiau dan Perasmian Rumah Budaya (Walai Mitapus Kiau) 2024 semakin rancak berjalan.
Aktiviti gotong-royong ini diadakan di Dewan Komuniti Kiau Nuluh dan sekitar Kawasan Rumah Budaya, dan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kiau Nuluh, Rayner Yukun.
Tujuan gotong-royong ini adalah untuk membersihkan kawasan, menyediakan pentas, serta menyiapkan persekitaran Rumah Budaya bagi memastikan majlis berjalan lancar.
Majlis Moginakan Kiau dan Perasmian Rumah Budaya (Walai Mitapus Kiau) 2024 dijadual dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, esok (28 September 2024).
Antara pengisian majlis adalah acara sukaneka, pertandingan karaoke, cabutan bertuah, persembahan kebudayaan, majlis moginakan (makan dan minum bersama-sama) dan perasmian Rumah Budaya (Walai Mitapus Kiau).
Untuk rekod, Rumah Budaya (Walai Mitapus Kiau) dimiliki oleh Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semulajadi Kampung Kiau Nulih, Kota Belud atau Koisaan Momogompi Tinungkusan Gulu-Gulu om Kotolunan Sandad (GOMPITO).
Menurut Rayner, aktiviti gotong-royong ini telah bermula sejak awal minggu lagi dan dijalankan dengan kerjasama erat penduduk setempat.
Beliau berharap agar semua komuniti dari ketiga-tiga kampung di Kiau, iaitu Kiau Toburi, Kiau Nuluh, dan Kiau Bersatu, serta sesiapa sahaja yang berkelapangan, dapat hadir bagi memeriahkan majlis ini.
Majlis ini bukan sahaja bertujuan merasmikan Rumah Budaya, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan antara komuniti, selain melestarikan tradisi dan budaya tempatan.
Comments