Persidangan Pendidikan Alam Sekitar Malaysia Kali Ke-4 di Sandakan, pupuk usaha melestari alam sekitar
- nabalunews
- Oct 20, 2024
- 2 min read

20 Oktober 2024
SANDAKAN: Sebanyak 22 kertas kerja dibentangkan pada Persidangan Pendidikan Alam Sekitar Malaysia (Malaysian Environmental Education Conference) / My EE Conference Kali Ke-4 yang berlangsung selama tiga hari di Rainforest Discovery Centre (RDC), Sandakan, baru-baru ini.
Pembentangan disampaikan oleh pakar-pakar dan penceramah dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam, Indonesia dan Jepun.
Pembentangan itu melibatkan perkongsian penceramah mengenai penjagaan dan kelestarian alam sekitar di kawasan masing-masing.
Seramai 160 peserta menyertai persidangan ini yang diadakan dua tahun sekali dan dianjurkan Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Sabah Environmental Education Network (SEEN) dan World Wide Fund (WWF) Malaysia.
Peserta terdiri daripada warga pendidik, pelajar pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan dari seluruh negara serta Jepun, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Ia dirasmikan Timbalan Konservator Hutan Sabah (Penyelidikan dan Pembangunan) Dr. Arthur Chung dan turut dihadiri Pengerusi Penganjur merangkap Pengurus RDC, Bernadette D Joeman.
Bercakap kepada media, Arthur berkata, program seumpama ini wajar digalakkan untuk sama-sama melestarikan alam sekitar.
"Melalui persidangan ini, peserta juga dapat melihat sendiri usaha kita dalam melestari alam sekitar di mana Sabah juga sangat bertuah kerana mempunyai keindahan flora dan fauna, hidupan liar, gunung-ganang dan yang lain," tambahnya.
Arthur berharap, pada persidangan akan datang, ada kalangan peserta kali ini berkongsi mengenai usaha melestari alam sekitar untuk generasi akan datang.
Manakala Bernadette berharap, semua peserta akan mendapat maklumat yang terbaik sepanjang persidangan itu sekaligus berkongsi kepada rakan dan masyarakat mengenai aspek penjagaan alam sekitar dikawasan masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang menjayakan persidangan itu.
Pelbagai pengisian diadakan sepanjang persidangan itu diadakan antara pameran alam sekitar oleh agensi berkaitan, lawatan ke Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok, SJKC Tai Tong, Sandakan dan laluan Jejak Warisan Sandakan.
Comentários