top of page

Pertambahan peruntukan badan keagamaan bukan Islam komitmen Kerajaan Sabah kepada kepelbagaian – Ewon

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

1 Februari 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pertambahan peruntukan untuk badan keagamaan bukan Islam di Sabah membuktikan komitmen kerajaan negeri kepada kepelbagaian agama.


Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor dalam membangunkan keperluan semua komuniti agama di Sabah secara inklusif dan saksama.


“Peruntukan kepada badan keagamaan selain Islam yang ditambah kepada RM90 juta ini adalah manifestasi komitmen besar Kerajaan Sabah untuk memastikan keperluan pembangunan dan kebajikan semua penganut agama diberi perhatian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Lokawi, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, penghormatan terhadap perayaan keagamaan dan kebudayaan yang diraikan oleh pelbagai bangsa dan agama di Malaysia merupakan asas penting dalam mempertahankan Persekutuan Malaysia, khususnya di Sabah yang sekian lama menjadi contoh toleransi dan perpaduan rakyat.

“Saya yakin dengan saling menghormati kepelbagaian ini, kita mampu memperkukuh perpaduan nasional dan terus memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.


“Saya kira inilah terjemahan kepada kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia khususnya di Sabah,” katanya.


Ewon berkata, sebagai seorang Kristian, beliau lazimnya menunaikan ibadah mingguan di gereja-gereja dalam kawasan yang diwakilinya sama ada di Penampang atau Kadamaian dan mengambil kesempatan mendengar keperluan komuniti setempat.


“Tadi pagi saya berada di Kampung Sugud, bukan sahaja untuk menunaikan ibadah mingguan, tetapi juga mendengar keperluan pihak gereja.

“Mereka (pihak gereja) telah memaklumkan kepada saya dan Datuk Donald Peter Mojuntin (ADUN Moyog) keperluan membesarkan ruang kawasan gereja,” katanya.


Ewon berkata, sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada gereja tersebut untuk membina konkrit kawasan parking


“Hari ini saya turun sendiri melihat pelaksanaan projek itu dan maklum balas daripada jemaah yang hadir sangat positif,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page