top of page

Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Kota Belud 2025: Sepuluh Finalis Bakal Berentap 10 Mei Ini

  • nabalunews
  • May 9
  • 2 min read


ree

9 Mei 2025


KOTA BELUD: Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Kota Belud 2025 anjuran bersama Pejabat Daerah Kota Belud dan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Kota Belud akan berlangsung pada 10 Mei ini bertempat di Dewan Tun Said Keruak, Kota Belud.


Acara ini bakal menyaksikan seramai sepuluh orang finalis bersaing merebut gelaran juara seterusnya mewakili daerah Kota Belud ke peringkat negeri.


Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan, Charles Kimpui yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA, menyatakan bahawa pemenang pertandingan ini akan mewakili daerah Kota Belud ke Pertandingan akhir peringkat Negeri pada 23 Mei 2025 yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Kota Kinabalu.


ree

Pertandingan akhir kali ini bukan sahaja menjadi medan mempertaruhkan bakat nyanyian, malah menawarkan ganjaran menarik. Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta piala dan sijil. Naib juara pula akan menerima RM1,500, manakala tempat ketiga bakal memperoleh RM1,000, masing-masing turut menerima piala dan sijil penghargaan.


Antara nama-nama yang bakal menggegarkan pentas akhir ialah Muhamad Shaffie (18, Kg. Tampasuk 2), Hassander Koko (28, Kg. Rangalau), Babu Camelia Peturus (20, Kg. Piasau), Boby Jacktro Majin (26, Kg. Bukid Rantai) dan Blasius Gambiluk (44, Kg. Sarang). Turut bersaing ialah Priscilla Fredley (21, Kg. Tambulion Ulu), Pateizio Kinson (25, Kg. Kaung), Reynn Raphiel (19, Kg. Lapai), CC Nigel Natasha Roger (20, Kg. Tamalang), dan Siti Asyirah Morlan (23, Kg. Bobot).


Charles turut mengucapkan selamat bertanding kepada semua peserta, sambil menyeru mereka agar memberikan persembahan terbaik. Katanya, kejayaan dalam pertandingan ini bukan hanya membanggakan diri sendiri, tetapi juga mewakili maruah dan budaya daerah Kota Belud di pentas negeri.


ree

Beliau juga mengajak orang ramai, khususnya penduduk tempatan, agar hadir memberikan sokongan kepada peserta.


“Marilah kita memeriahkan Dewan Tun Said Keruak pada Sabtu ini sebagai tanda sokongan terhadap warisan budaya kita,” katanya.


Pertandingan Sugandoi Kaamatan bukan sahaja menyemarakkan semangat budaya Kadazan Dusun, tetapi juga mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang seni suara yang berpaksikan tradisi. Semua mata kini tertumpu kepada siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara Sugandoi Kota Belud 2025 pada malam 10 mei ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page