top of page

Pertandingan bola tampar rapatkan belia di Kota Marudu

  • nabalunews
  • Nov 29, 2024
  • 2 min read

29 November 2024


KOTA MARUDU : Sukan menjadi platform persaingan sihat dan medan mengeratkan hubungan antara komuniti dari pelbagai ceruk dan kawasan.


Khamis lalu, belia dari sekitar Bandau dan Kota Marudu tertumpu ke gelanggang terbuka Kampung Rugading Baru, Bandau, untuk menyertai pertandingan bola tampar (mixed) anjuran Belia Beliawanis Luba Polumpung yang berlangsung dengan jayanya.


Ketua Belia-Beliawanis Kampung Luba Polumpung, Zunaidah Kumilau berkata program ini bertujuan mengeratkan hubungan di antara komuniti khususnya belia.


Majlis perasmian pertandingan ini disempurnakan oleh Naib Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu, Suzie Salapan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan (CLC) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Bandau untuk Parti UPKO.


Sebanyak 10 pasukan dari Bandau dan Kota Marudu mengambil bahagian.


Pasukan Yoko-Yoko dari Goshen, Kota Marudu, muncul juara setelah menunjukkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan dengan menewaskan pasukan lain.


Naib juara dimenangi oleh pasukan Mix River dari Kampung Sungoi, manakala pasukan Minion dari Kampung Rugading mendapat tempat ketiga.


Pasukan penganjur, Belia-Beliawanis Luba Polumpung, menduduki tempat keempat.


Suzie dalam ucapannya menegaskan bahawa kejayaan program ini bukan terletak pada hadiah, tetapi pada pengisian program yang memberi impak positif kepada golongan belia.


"Hadiah mungkin sekadar piala Maggi, tetapi nilai sebenar terletak pada peluang untuk belia kita berkumpul, berinteraksi, dan memperkukuhkan perpaduan," katanya.


Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana dijemput sebagai perasmi yang memberikan beliau peluang untuk mendekati golongan belia di kawasan DUN Bandau.


Suzie juga menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang pertandingan.


Katanya acara ini bukan sahaja menjadi platform persaingan sihat tetapi juga medan mengeratkan hubungan antara komuniti sekitar Bandau dan Kota Marudu.


"Kejayaan acara ini menjadi bukti bahawa aktiviti sukan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan kekuatan komuniti," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page