Pertandingan fesyen kanak-kanak bertema kitar semula meriahkan sambutan Hari Alam Sekitar 2025
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

27 Mei 2025
KOTA KINABALU: Kreativiti kanak-kanak dalam menghasilkan busana daripada bahan kitar semula akan diketengahkan dalam pertandingan fesyen unik bertajuk Kids Fashion Show MCMR 1.0, bertemakan “Trash to Treasure Runway” yang bakal berlangsung sempena Kempen Kesedaran “My City, My Responsibility” 1.0 di Kompleks Karamunsing pada 29 Jun.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), acara ini bertujuan menyampaikan mesej bahawa barangan terbuang masih memiliki nilai tinggi apabila diolah dengan kreativiti dan kesedaran tentang alam sekitar.
“Objektif pertandingan ini ialah untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan kreatif dan praktikal, menggalakkan penggunaan semula bahan terbuang dalam kehidupan seharian, menyemai rasa tanggungjawab terhadap kebersihan dan kelestarian bandar sejak usia muda, serta mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti bersama yang menyeronokkan dan mendidik,” menurut kenyataan tersebut.

Pertandingan ini terbuka kepada kanak-kanak berumur antara 8 hingga 13 tahun, di mana setiap peserta perlu mereka cipta dan memperagakan pakaian yang diperbuat daripada sekurang-kurangnya 60 peratus bahan kitar semula seperti plastik, kertas, fabrik terpakai serta bahan buangan harian lain.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dengan mengimbas Kod QR yang tertera pada poster rasmi atau menghubungi pihak urus setia Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK di talian 017-8272217. Penyertaan adalah terhad kepada 80 peserta terawal sahaja.
Comments