Pertandingan Memancing SIB Tuguson Meriahkan Sambutan Krismas 2024 di Kadamaian
nabalunews

12 Disember 2024
KOTA BELUD: Sempena Krismas 2024, Unit Jawatankuasa Sukan Sidang Injil Borneo (SIB) Tuguson, Kota Belud, menganjurkan pertandingan memancing pada 20 Disember ini untuk memupuk semangat kekeluargaan serta mengeratkan hubungan masyarakat setempat melalui aktiviti yang menyeronokkan.
Sumbangan bagi menjayakan acara ini telah disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, kepada Jeeroe Loyes Niting, wakil Pengerusi Sukan Natal SIB Tuguson, Jiffanyus Setimin.
Ketika dihubungi Nabalu News, Jiffanyus menjelaskan, pertandingan ini akan berlangsung di Kolam Rekreasi 77, Kampung Tamu Darat, Kota Belud.
Program ini akan bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah hari. Mereka yang mahu menyertai pertandingan memancing ini hanya dikenakan bayaran yuran sebanyak RM10 seorang.
“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga merupakan sebahagian daripada pengisian acara sukan Natal untuk kawasan kami. Melalui acara ini, kami mahu mengukuhkan hubungan persaudaraan serta mencipta kenangan bermakna sempena sambutan Krismas,” jelas Jiffanyus.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ewon atas sokongan yang diberikan, sekaligus menyuntik semangat kepada komuniti setempat untuk terus bergiat aktif dalam acara sebegini.
" Walaupun hadiah yang ditawarkan bukan menjadi fokus utama, pertandingan ini membawa nilai yang lebih besar iaitu perpaduan dan semangat persaudaraan.
"Acara seperti ini mencerminkan semangat komuniti yang bersatu padu dalam menyambut Krismas dengan penuh kegembiraan dan harmoni." kata Jiffanyus.
Comments