Pertandingan Sugandoi platform martabat bahasa, warisan budaya – Donald
- nabalunews
- Jun 11, 2025
- 1 min read

11 Jun 2025
PENAMPANG: Pertandingan nyanyian atau Sugandoi dilihat berperanan penting sebagai platform untuk memartabatkan bahasa dan warisan budaya Kadazandusun.
Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, pertandingan berkenaan harus terus diperkasa sebagai medium untuk mengekalkan jati diri serta memperkukuh penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda.
"Kita tidak mahu suatu masa nanti bahasa Kadazandusun hanya tinggal kenangan. Sebab itu saya menggesa agar diwajibkan untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Kadazandusun atau Momogun dalam setiap pertandingan Sugandoi.

“Ini bukan sekadar pertandingan malah sebagai perjuangan untuk mempertahankan identiti warisan kita,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan Sugandoi peringkat Zon Kolopis, di sini, baru-baru ini.
Donald turut melahirkan kebimbangan terhadap tren semasa yang menunjukkan semakin ramai anak muda tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda serta kecenderungan masyarakat untuk menggunakan bahasa lain dalam kehidupan harian.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan bahasa ini dengan mengutamakan penggunaannya dalam komunikasi harian bersama anak-anak.
Dalam pada itu, Donald turut menggalakkan golongan muda agar terus mencipta dan menghasilkan lebih banyak lagu baharu dalam bahasa Kadazandusun sebagai usaha memastikan bahasa tersebut terus hidup dan relevan dalam arus moden.
“Asal usul kita jangan dilupa. Bahasa adalah jati diri bangsa. Selagi kita bertutur dan menyanyikan lagu dalam bahasa Kadazandusun, selagi itulah warisan kita kekal utuh,” katanya.
Pertandingan Sugandoi merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk mengangkat seni suara tradisional masyarakat Kadazandusun serta menyemai kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan bahasa dan budaya tempatan.















Comments