Pertumbuhan KDNK 4.9 peratus pada 2025 atasi unjuran rasmi
- nabalunews
- Jan 20
- 1 min read

20 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.9 peratus bagi tahun 2025, mengatasi unjuran rasmi sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu bukan sahaja mengatasi sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 4.8 peratus, malah disokong peningkatan ketara pada suku keempat tahun lalu.
“Unjuran pertumbuhan tempoh Januari hingga September adalah pada 4.7 peratus, tapi Alhamdulilah angka suku tahun keempat iaitu pertumbuhan 5.7 peratus.
“Maka, angka terkini yang ingin saya maklumkan ialah pertumbuhan KDNK 2025 pada kadar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN – Simpang Renggam) yang ingin tahu faktor-faktor yang menyumbang kepada prestasi pertumbuhan ekonomi 2025 yang dijangka akan mengatasi unjuran di antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selain pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan, prestasi ringgit adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun iaitu sekitar RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Menurut beliau, Indeks Bursa Saham Malaysia mencatat paras 1,700 mata, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun manakala kadar pengangguran pada November 2025 menurun kepada 2.9 peratus iaitu terendah dalam 11 tahun.
Katanya, pencapaian tersebut didorong oleh kestabilan politik, kejelasan dasar kerajaan serta kerjasama erat antara kerajaan, perkhidmatan awam, peniaga dan pelabur.
"Perkara kedua tentang hala tuju negara itu agak jelas, seperti mana diumumkan seperti Pelan Induk Perindustrian, Transformasi Digital, Peralihan Tenaga dan lain-lain.
"Ketiga, mengenai kesediaan kerajaan dengan tekad politik, melaksanakan pembaharuan dasar yang mencabar, membina keyakinan pelabur termasuk Akta Kewangan dan tanggungjawab fiskal sehingga defisit fiskal turun dari 5.5 peratus pada 2022, kepada 3.8 peratus pada 2025," katanya.


















Comments