Perundangan baharu tingkat keselamatan digital dibentang Oktober depan

28 Julai 2024
PUTRAJAYA: Satu perundangan baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati (kill switch) secara terperinci dan jelas, akan dibentangkan di Parlimen, Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara lain undang-undang itu bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan Internet agar mereka memainkan peranan dalam menangani jenayah dalam talian seperti kes penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan seksual.
Selain itu, Azalina berkata Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 bakal dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM pada 5 dan 6 September depan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan Bernama, penganjuran persidangan itu susulan pelesenan perkhidmatan media sosial berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenalkan 1 Ogos depan.
Azalina berkata, persidangan yang bakal dihadiri pakar dan pejuang akauntabiliti dan tatakelola media sosial terkemuka antarabangsa seperti Frances Haugen dan Dr Taylor Owen akan membincangkan isu-isu berkenaan ancaman dalam talian seperti keselamatan kanak-kanak, jenayah siber dan isu kawal selia media sosial terutama dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga sedang mengkaji cadangan meminda Kanun Keseksaan untuk mengklasifikasikan dan mendefinisikan kesalahan buli siber serta cadangan pindaan berbangkit terhadap Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan peruntukan jenayah itu dapat dikuatkuasakan secara efektif.
Beliau berkata Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama BHEUU dan MCMC akan menjalankan kajian sosial berkenaan keselamatan dalam talian menerusi kajian pendapat awam.
Katanya kajian itu akan melengkapkan usaha kerajaan dalam menggubal undang-undang berkenaan dan memastikannya holistik, relevan dan mencakupi semua aspek serta melindungi seluruh lapisan masyarakat.
Comments