Peruntukan RM18.7 Bilion Mesti Manfaatkan Rakyat Pedalaman – Pemuda UPKO Ranau
nabalunews
2 hours ago
2 min read

Oleh Romie Stanley DGuns
12 Oktober 2026
RANAU: Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau mendesak supaya peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah dalam Belanjawan Malaysia 2027 diterjemahkan kepada pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya di luar bandar dan pedalaman.
Ketuanya, Amirul Azril Zulfkli, berkata peningkatan peruntukan itu perlu dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah kemudahan asas yang masih dihadapi penduduk, termasuk di daerah Ranau.
Menurutnya, belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu memberi ruang untuk memperkukuh pembangunan Sabah, namun kejayaannya bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan.
“Kita mahu melihat peruntukan ini diterjemahkan kepada projek yang nyata, berimpak tinggi dan menyelesaikan masalah rakyat, bukan sekadar angka dalam belanjawan,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan Persekutuan untuk Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion pada 2026 kepada RM18.7 bilion pada 2027, sekali gus membuka peluang untuk menangani keperluan pembangunan negeri dengan lebih berkesan.
Katanya, bagi masyarakat Ranau dan kawasan sekitarnya, keutamaan perlu diberikan kepada jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, capaian internet serta kemudahan awam.
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak pada 2027, termasuk kesinambungan projek Pan Borneo Sabah Fasa 1B, dapat meningkatkan keterhubungan dan membuka akses kepada kegiatan ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan jalan raya juga perlu merangkumi keperluan penduduk di kawasan pedalaman dan tidak tertumpu kepada laluan utama sahaja.
Beliau menegaskan jalan kampung, jalan pertanian, jambatan serta kemudahan asas di pedalaman Ranau perlu diberi perhatian supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Dalam memperkukuh ekonomi setempat, Amirul berkata Ranau mempunyai potensi dalam sektor pelancongan, pertanian moden, perusahaan kecil dan sederhana serta ekonomi digital.
Menurutnya, potensi itu perlu disokong melalui bantuan kewangan, latihan kemahiran, bimbingan perniagaan, kemudahan pemasaran dan akses kepada pasaran.
Beliau berharap pelaksanaan Belanjawan 2027 dapat memperluas peluang kepada peniaga kecil, pengusaha pelancongan, petani, koperasi dan usahawan muda untuk mengembangkan kegiatan ekonomi di daerah sendiri.
Katanya, usaha itu juga dapat membantu mengurangkan penghijrahan belia keluar daerah dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan di Ranau.
“Anak muda bukan sahaja perlu menjadi pencari kerja, malah mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan di daerah sendiri,” katanya.
Dalam bidang pendidikan, beliau menyambut baik penggandaan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak yang membuka peluang kepada 4,200 pelajar kedua-dua negeri melanjutkan pengajian setiap tahun.
Pada masa sama, beliau berkata peluang pendidikan teknikal dan vokasional, latihan kemahiran serta pekerjaan yang menawarkan pendapatan berdaya maju perlu terus diperluas untuk belia Sabah.
Mengenai hak Sabah, Amirul menegaskan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu disusuli penyelesaian yang jelas, telus dan mampan, termasuk pemuktamadan formula Pemberian Khas Sabah melalui rundingan antara kerajaan berkaitan.
Katanya, hak dan kepentingan Sabah perlu diterjemahkan kepada keupayaan negeri memperkukuh pembangunan, meningkatkan mutu perkhidmatan awam serta memperbaiki kehidupan rakyat, khususnya masyarakat yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas.
Beliau turut menekankan bahawa peruntukan besar perlu disertai mekanisme pemantauan berkesan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut keutamaan, disiapkan dalam tempoh munasabah dan memberikan manfaat yang boleh dinilai.
Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah, agensi pelaksana, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa tempatan amat penting untuk memastikan pelaksanaan pembangunan memenuhi keperluan rakyat.















Comments