Peruntukkan Rm15 Juta Diumumkan YAB Perdana Menteri Menjamin Kelangsungan Dapur Siswa UMS
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

7 Januari 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Raman Noordin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung penyaluran peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan yang dikenali sebagai Dapur Siswa MADANI.
Menurut Raman, penyaluran peruntukan tersebut mencerminkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, khususnya dari aspek keperluan asas makanan.
Katanya inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diperluaskan ke seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) amat bertepatan dalam menangani isu ketidakjaminan makanan dalam kalangan pelajar, sekali gus memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembelajaran dan pembangunan diri di menara gading.
"Selari dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) telah mengambil langkah proaktif awal dengan menubuhkan Dapur Siswa di dua buah kolej kediaman di Kampus induk Kota Kinabalu yang telah mula beroperasi pada 24 November 2025.
"Pada masa kini, Dapur Siswa di Kolej Kediaman UMS Kampus Antarabangsa Labuan sedang dalam pembinaan dan dijangka akan siap pada bulan Februari 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan sokongan kebajikan pelajar.
"Inisiatif ini akan terus diperkasa dan diperluas ke Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan inklusif," katanya.
Tambah Raman, bagi menjamin kelangsungan operasi Dapur Siswa, pelbagai kempen telah dilaksanakan seperti Kempen 1 Staf 1 Kampit Beras dan penubuhan Tabung Amanah Dapur Siswa.
"Kempen ini turut menggalakkan kakitangan dan masyarakat sekitar memberikan sumbangan selain mewujudkan masyarakat yang prihatin dan meningkatkan ‘sense of belonging’ di kalangan kakitangan.
"Sejak diperkenalkan, Dapur Siswa telah menerima sebanyak 1150 Kilogram beras (115 kampit beras) yang telah dimanfaatkan oleh sekitar 3500 pelajar.
"Dengan peruntukan khas yang disalurkan oleh YAB Perdana Menteri melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), akan lebih ramai mahasiswa yang boleh dibantu khususnya di UMS yang 70 peratus pelajar adalah dari kalangan B40. Peruntukan khas ini akan dapat membantu Universiti dalam memperkasa Dapur Siswa sedia ada serta dapat membantu untuk kelangsungan operasi Dapur Siswa,"katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi atas keprihatinan beliau merayu kepada YAB Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan ini.
Tambah beliau, pihak universiti melalui entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni akan terus menyokong dan bekerjasama rapat dengan KPT serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada mendapatkan keperluan asas sepanjang tempoh pengajian, selaras dengan aspirasi pembentukan ekosistem pembelajaran yang sejahtera dan berteraskan nilai MADANI.


















Comments