Perwakilan Tuaran sokong ILMAN dinaik taraf ke peringkat diploma
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

12 Ogos 2026
PENAMPANG: Perwakilan UPKO Tuaran, Rayner Ebi menyokong cadangan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick supaya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) dinaik taraf daripada pusat kursus jangka pendek kepada institusi yang menawarkan pengajian sekurang-kurangnya pada peringkat diploma.
Membahaskan ucapan dasar Ewon, Rayner berkata cadangan itu penting bagi memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri serta melahirkan tenaga yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pentadbiran Mahkamah Anak Negeri.
Dalam ucapan dasarnya, Ewon mencadangkan supaya ILMAN dinaik taraf menjadi institusi yang mengeluarkan graduan dalam bidang pentadbiran Mahkamah Anak Negeri sekurang-kurangnya pada peringkat diploma dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau turut mencadangkan supaya ILMAN mempunyai Lembaga Pengarah sendiri bagi menyokong keseluruhan ekosistem reformasi institusi Anak Negeri Sabah.
Rayner berkata, cadangan berkenaan amat dekat dengan dirinya selepas pernah menganjurkan Seminar Pelestarian Adat Orang Asal di bangunan ILMAN pada 27 dan 28 September 2018 bersama Jawatankuasa Komulakan UPKO Tuaran.
“Seminar tersebut bukan sahaja melibatkan masyarakat Sabah, tetapi turut disertai masyarakat Orang Asli dari Perak dan masyarakat dari Sarawak.
“Yang merasmikan seminar tersebut ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah ketika itu, Datuk Presiden kita, Datuk Ewon Benedick,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden UPKO pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17, di Dewan KDCA, di sini, pada Ahad.
Menurut Rayner, cadangan memperkasakan ILMAN itu merupakan kesinambungan kepada usaha memperkukuh institusi Anak Negeri Sabah, khususnya selepas tiga ADUN UPKO menyokong tiga enakmen reformasi institusi Anak Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri bulan lalu.
Tiga enakmen itu ialah Enakmen Mahkamah Anak Negeri 2026, Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 serta Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026.
Beliau berkata, pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi kini berdepan pelbagai isu yang semakin kompleks dan memerlukan pengetahuan serta kemahiran bersesuaian untuk mengurus serta merujuk sesuatu kes.
“Kadangkala mereka menjadi orang pertama menerima aduan mengenai masalah keluarga, penderaan, gangguan seksual malah kes yang mempunyai unsur jenayah.
“Jika terdapat unsur jenayah, ia mesti diserahkan kepada polis dan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa. Namun pemimpin masyarakat kita mesti dilatih untuk mengenal pasti, melindungi mangsa dan mengetahui bila serta ke mana sesuatu kes perlu dirujuk,” katanya.
Sehubungan itu, Rayner mencadangkan supaya kurikulum ILMAN yang dinaik taraf tidak hanya tertumpu kepada adat dan tatacara Mahkamah Anak Negeri.
Sebaliknya, katanya, kurikulum berkenaan perlu turut merangkumi aspek mediasi, perlindungan kanak-kanak dan wanita, kesedaran gangguan seksual, pengurusan kes, etika dan integriti serta bidang kuasa dan hubungan Mahkamah Anak Negeri dengan sistem perundangan negara.
Beliau turut menekankan kepentingan mendokumentasikan adat masyarakat Orang Asal supaya pengetahuan yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak hilang bersama pemergian mereka.
“Kita mesti selidik, dokumentasikan, digitalkan dan wariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Rayner berkata, sudah tiba masanya ILMAN bergerak daripada sekadar pusat kursus kepada institusi yang mampu menawarkan pendidikan di peringkat diploma, selain mengangkat pengetahuan adat yang diwarisi secara lisan kepada ilmu yang didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Adat mesti dipelihara melalui institusi. Institusi mesti diperkukuh melalui ilmu. Dan ilmu mesti diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Ewon untuk memperkasakan ILMAN sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi Anak Negeri Sabah.















Comments