Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban


18 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SHAH ALAM: Sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang membawa lapan orang termasuk dua juruterbang terhempas di kawasan perumahan di Elmina di Seksyen U16, di sini, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua orang awam yang melintasi jalan raya berhampiran lokasi nahas turut maut apabila pesawat itu terbakar selepas terhempas.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang tiba di lokasi kejadian berkata, pesawat berdaftar N-28JV itu telah tersasar dari laluan asalnya sebelum terhempas.


Jelas beliau, lencongan mengejut itu berlaku tiga minit selepas mendapat pelepasan dari menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Subang pada 2:48 petang.


“Menurut menara (kawalan trafik udara), mereka perasan pesawat itu terkeluar sedikit ke tepi laluan asalnya.


"Selepas memberi kebenaran untuk pesawat mendarat, pengawal melihat asap dari menara, datang dari lokasi nahas,"katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Subang.


Loke berkata, pihak berkuas sedang melakukan pencarian kotak hitam pesawat ini untuk mengetahui punca sebenar kemalangan ini.


Bahagian siasatan kemalangan udara kementerian pengangkutan (BSKU) telah diaktifkan sebaik sahaja disahkan berlaku kemalangan ini.


Beliau turut memaklumkan senarai nama mangsa yang terdapat dalam manifest pesawat tersebut


Mereka ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim; serta penumpang Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Johari Harun, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.


Beliau juga berkata, identiti dua orang awam yang maut akibat kemalangan itu masih belum dikenal pasti.


Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka tabah menghadapi dugaan ini.


"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat di Elmina, Shah Alam petang tadi. Mendoakan semoga kesemua mereka tabah menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Facebook.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page