Peserta Felo Perdana ditamatkan kerana kemuka sijil tidak tulenPeserta Felo Perdana ditamatkan kerana kemuka sijil tidak tulen
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Peserta Felo Perdana ditamatkan kerana kemuka sijil tidak tulen


14 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Seorang Felo Perdana yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah ditamatkan dari menyertai program tersebut kerana didapati mengemukakan sijil yang tidak tulen.


Unit Komunikasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata, beliau telah melanggar terma perjanjian program Felo Perdana yang merupakan program mentoring dan internship dengan matlamat melahirkan belia yang berdaya saing dan memahami sistem pentadbiran negara.


"Bagaimanapun, beliau akan ditawarkan untuk mengikuti sesi kaunseling. Pada masa yang sama, KBS akan memulakan siasatan untuk memastikan pelaksanaan program ini dikukuhkan lagi pada masa hadapan," katanya.


Menurut kenyataan itu, beliau adalah seorang pelajar universiti awam di ibu negara ini yang telah menyenaraikan beberapa pencapaian semasa permohonan program Felo Perdana.


"Namun bagi salah satu pencapaian yang disenaraikan, setelah disemak dengan lebih lanjut bersama penganjur, adalah didapati bahawa sijil yang dikemukakan tidak tulen," katanya.


KBS juga memaklumkan bahawa pengambilan semua Felo telah melalui prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan tapisan keselamatan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).


Program Felo Perdana telah berjaya menghasilkan 763 orang Felo sejak dilancarkan pada tahun 2013.


"KBS sentiasa mendukung usaha kerajaan dalam terus memantapkan tatatelola yang baik dalam semua program kerajaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketirisan dalam hal ini," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page