Peserta Ladang PPRT Tongod Tuntut Penjelasan Mengenai Dividen Tertunggak
- nabalunews
- Oct 2
- 1 min read

2 Oktober 2025
TONGOD: Isu pembayaran dividen tertunggak terus menghantui peserta Ladang Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod apabila seramai 120 daripada 774 peserta menghadiri mesyuarat di Kg Minusoh hari ini bagi membincangkan tuntutan mereka.
Agenda mesyuarat berkisar kepada pembayaran dividen sebanyak RM400 sebulan yang sepatutnya diterima peserta, namun menurut Ketua Peserta, Ungkilat Selangah, pembayaran terakhir hanya dibuat pada tahun 2018 ketika Datuk Ewon Benedick masih memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
“Pembayaran terakhir dividen ladang PPRT Tongod dibuat kepada kesemua 774 peserta adalah pada tahun 2018 semasa Datuk Ewon Benedick selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah,” katanya.

Ungkilat turut memaklumkan bahawa dua surat tuntutan pernah diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, semasa lawatan beliau ke Tongod, namun masih belum ada tindakan atau penjelasan daripada kerajaan negeri.
Beliau juga menuntut penjelasan lanjut berhubung desas-desus bahawa hanya 381 peserta dikekalkan dalam program tersebut, manakala selebihnya telah digugurkan.
Seorang lagi peserta, Kinin Jintik, pula membangkitkan isu 105 buah rumah yang dibina khas untuk peserta Ladang PPRT Tongod tetapi masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.
“Keadaan ini menyebabkan banyak rumah kosong dan tidak diduduki,” katanya.
Penyertaan dalam program ladang PPRT sepatutnya membolehkan peserta memperoleh pendapatan hasil tanaman sawit menerusi usahasama dengan Sawit Kinabalu Sdn Bhd, namun keadaan yang berlarutan ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka.


















Comments