Pesta Kaamatan Kampung Mandap disambut meriah
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

12 Mei 2025
KOTA BELUD: Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Juin Kolod, mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Mandap 2025 di Dewan Kg. Mandap.
Pesta yang bertemakan "Kaamatan Montok Toinsanai" ini telah menarik perhatian penduduk kampung serta pengunjung dari pelbagai kawasan sekitar.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Kampung Mandap, Hernittah Dimi, serta Pegawai Khas Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian yang juga merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progressive Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, Jolyhame Saran.
Acara tahunan ini bertujuan untuk merayakan budaya dan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun, yang merupakan warisan penting di negeri Sabah.
Dalam ucapan perasmiannya, Juin Kolod menegaskan bahawa pesta ini bukan sahaja menjadi medan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan kebudayaan tempatan kepada generasi muda dan pengunjung luar.
Beliau menyatakan bahawa usaha-usaha seperti ini adalah penting untuk memastikan kelestarian budaya Kaamatan dapat diteruskan.
Sementara itu, Hernittah Dimi sebagai Pengerusi Penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta kali ini. Beliau berharap agar pesta ini akan terus diadakan setiap tahun demi memelihara tradisi yang amat dihargai oleh masyarakat tempatan.
Comments