PETANI ENAM KAMPUNG LEMBAH KIULU RAYU KERAJAAN SEGERA BAIKI JALAN PERTANIAN
7 JAN 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
TAMPARULI: Para petani di enam kampung kawasan Lembah Kiulu merayu kepada kerajaan khususnya kementerian berkaitan supaya menyelenggara jalan Pertanian Mogonding di kawasan itu.
Jalan Pertanian Mogonding merupakan laluan utama para petani dari Kampung Tomis Lama, Tomis Jaya, Tomis Mangi Pangi, Tiong Ratau, Tiong Simpodon dan Tiong Gondohon ke kawasan kebun mereka.
Pengerusi Permuafakatan Jalanraya Pertanian Mogonding Punggin Maradan berkata, kerosakan beberapa bahagian jalan pertanian itu menyukarkan mereka mengeluarkan (mengangkut) hasil pertanian seperti padi, nenas dan getah.
“Petani tidak dapat mengeluarkan hasil pertanian seperti padi, nenas dan getah kerana jalan raya ini tidak dapat dilalui terutamanya musim hujan,” katanya kepada Nabalu News, di sini, hari ini.
Punggin berkata, sebelum ini, penduduk kampung bergotong-royong membaiki kerosakan jalan kawasan pertanian tetapi, kerosakan kali ini sangat teruk dan sukar dibaiki.
Sehubungan itu, beliau merayu supaya kerajaan melalui Wakil Rakyat Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dapat mengambil tindakan segera, memandangkan ketika ini musim menuai hasil nanas.
“Antara yang kami perlukan ialah, culburt dan gabion. Kami juga memohon supaya sebuah jambatan konkrit atau laluan kekal dibina menyeberangi sungai Kuriyou,” katanya.
Pengerusi Peladang Muda Tuaran Nikson Dauni juga berharap agar jalanraya pertanian itu dapat dibaiki dan dinaik taraf.
Beliau merayu kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian Datuk Dr.Jeffrey Kitingan supaya mempertimbangkan permohonan petani kawasan itu.
“Kawasan pertanian Mogonding antara kawasan pertanian yang mempunyai kebun nenas yang luas.
“Selain jalan raya, kami juga memerlukan kemudahan lain seperti bekalan air graviti kerana kebanyakan petani akan bermalam beberapa hari di kebun mereka memandangkan jarak kebun dengan rumah sangat jauh.
“Apa-apa pun keperluan mendesak ketika ini ialah membaiki jalan pertanian,” katanya.
Pengusaha Nenas dari Kg.Tomis Lama, Shary Duin berkata, beliau terpaksa berjalan kaki sejauh 3KM untuk ke ladang padi bukit kerana jalan raya tidak dapat dilalui sebarang kenderaan.
“Kami harap jalan pertanian ini diselenggara untuk keselesaan semua petani di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengusaha Halia dari Kg.Tiong Ratau, Lawrence Amin dan Pemborong Nenas Jolius Marcus turut menyuarakan harapan yang sama.
“Kami berharap tindakan segera dapat diambil untuk menyelenggara dan membaiki kerosakan di jalan pertanian ini sebab jalan ini adalah nadi kepada kemajuan ekonomi penduduk di enam buah kampung,” katanya.
(Dari kiri ke kanan) Jolius, Lawrence dan Shary.
Comments