top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Petani mengadu harga racun rumpai naik mendadak sehingga 50 peratus


Gambar Hiasan

29 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Para petani meminta kerajaan atau pihak berkuasa memantau harga racun rumpai dan baja tanaman yang kini naik secara mendadak sehingga 50 peratus.


Mereka mendakwa kenaikan harga racun rumpai dan baja itu membebankan mereka apatah lagi mereka tidak dapat menjual atau memasarkan hasil tanaman sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.


Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Pedalaman Sabah Mohd Khairy Abdullah berkata, kenaikan bahan weedicide atau herbicide secara mendadak itu memberi tekanan kepada para petani dan pekebun kecil-kecilan di negeri ini.


“Saya berharap kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah dapat mengambil tindakan segera untuk membantu para petani dan pekebun kecil.


“Kemelut harga racun rumpai ini umpama bom jangka, ia akan menjadi isu penting yang hanya menunggu masa untuk meledak,” katanya.


Sementara itu seorang petani dari Tamparuli Juliana Dominik mengeluh harga racun rumpai dan baja melambung tinggi.


Sebelum ini harganya RM45, kini RM60.

“Ada banyak jenis racun rumpai, ada yang dulu harganya RM45 kini naik RM60, ada yang sebelum ini harga RM58 kini naik melambung tinggi sehingga RM90. Harga racun rumpai 20 liter sebelum ini hanya RM210 tapi kini naik sehingga RM260.


“Kalau naik sedikit sahaja tidak apa tapi kenaikannya antara 45 hingga 50 peratus amat membebankan kami.


“Kami petani kecil-kecilan tiada pendapatan tetap setiap bulan, hasil tanaman sepanjang PKP sebelum ini pun tidak dapat dijual, kini harga racun rumpai pula melambung tinggi.


“Saya berharap kerajaan dapat membantu memantau harga racun rumpai dan baja sekiranya ada peniaga yang sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barangan itu,” katanya.


Katanya lagi, sepanjang PKP, mereka mengalami banyak kerugian kerana hasil tanaman tidak dapat dijual.


Sebelum ini harga racun rumpai jenis ini hanya RM25, kini naik RM36.

“Biasanya kalau harga minyak naik, ada pemberitahuan tapi apa yang menghairankan, kenaikan harga racun rumpai tiada pula kami dengar pemberitahuan atau pengumuman dari kerajaan,” katanya.


Harga sebelum ini RM58, kini naik mendadak RM90.

留言


bottom of page