Petisyen online #Bebaskan Sam Ke Ting capai lebih 600,000 tandatangan

14 April 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Petisyen #Bebaskan Sam Ke Ting daripada pertuduhan memandu secara melulu #FreeSamKeTing yang dilancarkan oleh seorang individu dikenali sebagai Wan Junida, kini mencapai lebih 600,000 tandatangan.
Petisyen itu dilancarkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam Ke Ting kerana menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak di jalan raya pada jam 3 pagi, lima tahun lalu.
Sehubungan itu ramai netizen menyuarakan bantahan terhadap keputusan itu melalui petisyen berkenaan.
.
“Kami rakyat Malaysia berasa ngeri dengan hukuman baharu Sam, di mana fakta menyokong bahawa dia adalah pemandu yang bertanggungjawab, mangsa sebenar dalam kemalangan ini.
“Kegagalan keibubapaan ibu bapa bakal mat rempit yang membenarkan anak-anak mereka berkeliaran di jalan dengan basikal yang diubah suai atau ‘basikal lajak’ pada pukul 3 pagi,” kata petisyen itu.
Setakat jam 9.19 malam ini seramai 595,846 warganet menandatangani petisyen tersebut.
“Lebih 604,654 sokongan rakyat Malaysia dalam tempoh 24 jam. Terima kasih rakyat Malaysia yang dikasihi, kerana menyokong dan menegakkan keadilan, tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama.
“Janganlah kita menganiaya rakyat yang tidak bersalah. Janganlah biarkan sesiapa pun yang merampas keadilan kita,” kata Wan Junaidi dalam petisyen itu.
Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam, 27, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.
Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.
Comments