PGA Rampas Pelbagai Barangan Bernilai RM10.38 Juta
- nabalunews
- Oct 31, 2025
- 2 min read

31 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Kenderaan, senjata api dan dadah antara barangan bernilai keseluruhan RM10.38 juta yang berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi 45 operasi serbuan yang dijalankan sepanjang Oktober ini.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, serbuan melibatkan operasi bersepadu termasuk Op Taring ESSZone/Daratan, Op Kontraband, Op Khazanah, Op Hazard (E-Waste) dan Road Check Point (RCP) di beberapa lokasi strategik.
Katanya, sepanjang bulan ini, pihaknya turut berjaya menahan 68 individu melibatkan 26 warga asing termasuk tiga wanita serta 40 warga tempatan iaitu 35 lelaki dan lima wanita.

“Semua individu terbabit ditahan untuk siasatan selepas disyaki terbabit dalam pelbagai kes penyeludupan dan jenayah
“Nilai keseluruhan rampasan bersama cukai dianggarkan sebanyak RM10,387,283.70, membabitkan pelbagai barangan seperti kenderaan, hasil hutan, minyak, rokok dan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nor Omar berkata, sepanjang operasi berkenaan, rampasan tertinggi melibatkan pelbagai kenderaan darat dan laut bernilai RM6.3 juta dan diikuti kayu balak serta hasil hutan lain bernilai RM2.48 juta.

“Turut dirampas ialah pelbagai makanan sejuk beku (RM896,938.90), minyak sawit mentah (RM277,900), diesel dan petrol (RM115,310), rokok pelbagai jenama (RM259,400), dadah dan daun ketum (RM20,784.80) serta barangan e-waste dan senjata api (RM21,000),” katanya.
Nor Omar berkata, kejayaan itu hasil daripada kerjasama erat antara PGA Briged Sabah dan agensi keselamatan lain dalam membanteras penyeludupan serta aktiviti haram di kawasan sempadan dan pedalaman negeri.
Katanya, operasi ini berjaya melumpuhkan beberapa rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan termasuk rokok haram, bahan api bersubsidi, makanan sejuk beku, kayu balak serta dadah (syabu) di kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.

“Orang awam digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada pihak polis bagi membantu tindakan segera terhadap aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
“PGA Briged Sabah sentiasa komited dan konsisten dalam menjaga keselamatan di kawasan persempadanan bagi memastikan keamanan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.


















Comments