PH atasi kelemahan PRN Johor, atur persiapan PRU-15
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH atasi kelemahan PRN Johor, atur persiapan PRU-15


16 Mac 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan segera terutama mengatur semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun Majlis Presiden PH berkata, kelemahan-kelemahan itu tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama secara menyeluruh. Oleh itu katanya, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan Pakatan Harapan untuk menggilap semula idealisme perjuangan Pakatan Harapan dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15. “Majlis Presiden Pakatan Harapan menerima keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan mengakui kelemahan termasuk isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi Pakatan Harapan berhubung isu-isu semasa yang menyebabkan Pakatan Harapan memenangi 12 kerusi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurut kenyataan itu lagi, pH juga akan berusaha merangkul seluruh kekuatan yang sedia menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang agar dapat bersama dalam usaha menolak Barisan Nasional. “Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan Pakatan Harapan yang akan mengurangkan undi Pakatan Harapan lalu secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional. “Kami terus bertekad menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik COVID-19 termasuk isu SOP dan kompaun pelanggaran, kenaikan tarif elektrik untuk perniagaan, tambahan cukai, serta kehimpitan hidup rakyat. Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urustadbir yang pincang,” katanya.

Majlis Presiden turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri. Katanya, pimpinan utama Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat. Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Negara (AMANAH) Hj Mohamad Sabu Parti, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.

bottom of page