top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH boleh cipta "kejutan" di Sabah dalam PRU15



3 Sept 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Biarpun bertanding sebagai "underdog" (bukan pilihan), Pakatan Harapan (PH) Sabah diramal mampu membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ini kerana rata-rata rakyat sudah "muak" dengan senario yang menyelubungi politik negara, terutama janji yang tidak ditepati, kes-kes rasuah berprofil tinggi, isu pendatang tanpa izin (PTI) dan Perjanjian Malaysia (MA63).


Pemerhati politik Dr Rizoh Bosorang berkata, PRU15 merupakan medan terbaik untuk merubah keadaan kepada yang lebih baik.


"Saya melihat kemarahan rakyat dan perasaan muak ini bakal diterjemahkan dalam bentuk undi pada PRU15 yang akan datang.


"Bagi saya, Pakatan Harapan adalah pilihan terbaik berdasarkan keadaan semasa. Saya tidak harian PH boleh mencipta kejutan, terutama dengan sokongan orang muda, " katanya.


Dr Rizoh berkata, senario politik semasa dan isu-isu terkini diperingkat nasional juga dilihat boleh mempengaruhi persepsi pengundi, menunjukkan bahawa tidak akan ada “single party” yang mendominasi kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15.


“Sudah tentu, parti-parti yang bertanding perlu berkerjasama, rundingan meja bulat dan membentuk gabungan untuk menerajui Putrajaya, sama ada sebelum pembubaran atau selepas keputusan PRU15.


“Sebab itu,  gabungan yang telah terbukti masih kukuh dan mempunyai kesatuan adalah PH, untuk menerajui Putrajaya dan membentuk kerajaan persekutuan yang lebih stabil,” katanya.


Pemerhati politik muda Erna Dominic pula berkata, walaupun terdapat pihak yang menganggap Parti Warisan Sabah (Warisan) lebih kuat apabila bergerak secara solo sebagai pembangkang, namun Warisan dikatakan kurang popular di kalangan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) kerana parti itu cenderung dikaitkan dengan  "label “ mesra PTI”.


“Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum ini menolak Warisan atas label “mesra PTI"  dan PBS enggan terpalit dengan label tersebut seperti apa yang terjadi kepada UPKO. PBS juga sedar jika mereka bersama Warisan, mereka akan menerima nasib yang sama.


“Bagaimanapun, dalam politik tiada yang mustahil bagi parti-parti berkenaan kembali menjadi “kawan” jika itu yang mereka fikir jalan terbaik menewaskan pihak lawan,” katanya.


Katanya lagi, gerakan solo Warisan akan menyukarkan mereka mengekalkan kerusi di beberapa kawasan yang sebelum ini milik mereka semasa bekerjasama dengan PH.


“Kawasan ini ialah Penampang, Kota Belud, Sepanggar dan Batu Sapi yang mempunyai banyak pengundi Cina dan KDM, memerlukan sokongan PH untuk menang,” katanya.


Sepanggar kini diwakili Datuk Mohd Azis Jamman, Batu Sapi (kerusi kosong berikutan kematian penyandang Datuk VK Liew), manakala Kota Belud dan Penampang masing-masing diwakili Isnaraissah Munirah Majilis dan Datuk Darell Leiking.

bottom of page