PH cadang KPM lebih terbuka, sedia saluran untuk guru beri pandangan PH cadang KPM lebih terbuka, sedia saluran untuk guru beri pandangan
top of page
  • Farah Salim

PH cadang KPM lebih terbuka, sedia saluran untuk guru beri pandangan



1 Disember 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih bersikap terbuka serta menyediakan saluran khas bagi membolehkan guru-guru menyatakan pandangan berkaitan permasalahan timbul membabitkan mereka.


Pengerusi JKPPH Dr Maszlee Malik berkata, saluran khas itu bagi memudahkan guru-guru menyampaikan pandangan atau kritikan kepada KPM.


“Di samping itu JKPPH juga mencadangkan agar para guru dapat menyalurkan pendapat dan aduan mereka kepada JK Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia agar jawatankuasa tersebut dapat membawanya ke pihak KPM,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama anggota JKPPH, Ahli Parlimen Setiawangsa (Keadilan) Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tampin (Amanah) Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai (DAP) Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Sekijang (Keadilan) Natrah Ismail; Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Tangga Batu (Keadilan) Rusnah Aluai dan Ahli Parlimen Batu Gajah (DAP) Sivakumar Varatharaju Naidu.


Dr Maszlee berkata, mesyuarat JKPPH hari ini (1 Disember) mengambil maklum petikan media yang dikeluarkan berkaitan sebilangan guru dipanggil oleh Unit Integriti KPM.


Katanya, panggilan itu dipercayai berkaitan dengan tindakan sebilangan guru yang mengeluarkan pendapat kritikal mereka agar KPM dapat menambah baik perkhidmatan dan pelaksanaan polisi khususnya berkaitan dengan beban guru, kebajikan mereka dan juga silibus serta jadual yang membebankan anak-anak sekolah.


“JKPPH meneliti isu-isu yang dibangkitkan oleh guru-guru terlibat samada di media sosial, mahupun di media arus perdana, dan didapati isu-isu tersebut bukanlah isu politik, salah laku (pecah amanah) mahupun gangguan seksual yang mampu menggugat profesionalisme seorang guru.


“Isu yang dibangkitkan adalah masalah-masalah asas dan sebenar yang berlaku di peringkat bawahan dan diangkat oleh guru-guru terlibat supaya pihak atasan lebih cakna untuk melakukan penambahbaikan.


“Malangnya KPM telah mengambil tindakan seolah-olah guru-guru terlibat melakukan kesalahan besar sehingga mereka dikenakan tindakan punitif,” katanya.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page