PH gesa kerajaan umum langkah tangani isu subsidi dan kos sara hidup
top of page
  • Farah Salim

PH gesa kerajaan umum langkah tangani isu subsidi dan kos sara hidup



23 Jun 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa pihak kerajaan supaya mengumumkan sepenuhnya pelan untuk menangani isu subsidi dan kos sara hidup dengan segera.


Menurut kenyataan PH, ini penting bagi mengurangkan bebanan rakyat dalam keadaan ekonomi mereka yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.


Katanya, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat. Oleh itu, Kerajaan mesti mengumumkan sepenuhnya pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup ini dalam masa 24 jam.


“Majlis Presiden PH amat risau dengan perkembangan mutakhir isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam bahawa subsidi bagi minyak masak tulen berbotol, serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.


“Pada ketika ini, Kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini.


“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.


Menurut kenyataan itu lagi, tindakan kerajaan menghapuskan subsidi bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab.


“Ketua Pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.


“Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para Menteri dalam menangani masalah kos sara hidup,” kata kenyataan itu.


Pakatan Harapan juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat.


Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page