PH Sabah ambil tindakan jika kerajaan gagal dapatkan semula 40% pemberian hasil persekutuan
top of page
  • nabalunews

PH Sabah ambil tindakan jika kerajaan gagal dapatkan semula 40% pemberian hasil persekutuan


Para pemimpin PH Sabah bergambar bersama selepas mesyuarat, di Ibu Pejabat UPKO.

25 Mac 2022


KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Sabah (PH) Sabah akan mengambil tindakan undang-undang berkaitan isu 40 peratus pemberian hasil persekutuan jika Kerajaan Negeri gagal mendapatkan semula formula asal atau rundingan lebih baik.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau, Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu.


“PH Sabah ingin menyatakan ketidakpuashatian ke atas jawapan Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat yang menyatakan formula 40 peratus pemberian hasil Persekutuan di Sabah di bawah Perkara 112 C&D tidak lagi terpakai kerana ada persetujuan baharu yang dicapai di antara Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.


“PH Sabah akan mengambil tindakan undang-undang mencabar kesahihan penjelasan Menteri Kewangan Persekutuan, apatah lagi persetujuan baharu yang dinyatakan dibuat semasa tempoh darurat, iaitu di antara tahun 1969 dan 1971 serta melibatkan warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah,” kata kenyatan media itu di sini, hari ini


Majlis Pemimpin PH telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat Sabah, di Ibu Pejabat UPKO, hari ini.


Sementara itu, PH Sabah turut mengalu-alukan semangat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semasa menyampaikan ucapan di Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini bahawa Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan perolehan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah.


“Bagaimanapun, PH Sabah tidak mahu melihat ia hanya menjadi satu retorik politik dan memberikan tempoh satu bulan kepada Kerajaan Sabah untuk mendapatkan perolehan hasil seperti dalam Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan, iaitu berdasarkan formula 40 peratus atau rundingan yang lebih baik.


“Jika Kerajaan Sabah gagal mendapatkan semula perolehan hasil berdasarkan formula 40% tersebut dalam tempoh sebulan, PH Sabah, khususnya Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri kami, tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke mahkamah untuk mencabar perkara ini,” katanya.


PH Sabah berpendapat jika benar ada warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah berhubung pemberian hasil 40% tersebut dan dibuat semasa tempoh darurat, ia merupakan satu bentuk penipuan ke atas pembentukan Negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963.


PH Sabah akan terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah bagi menuntut hak-hak Sabah sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963.


Susulan ini juga, PH Sabah memutuskan akan mengadakan satu forum melibatkan pengamal-pengamal perundangan dengan rakyat Sabah yang prihatin untuk membicarakan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan pemberian hasil berdasarkan formula 40% sepertimana dalam Perlembagaan dan isu-isu yang bersangkut paut secara spesifik dengan Perkara 112 C&D tersebut.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page