top of page

UMS anjur Program Keusahawanan Digital sebagai Laluan Kerjaya

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Sazali menyampaikan cenderahati kepada Madius sambil disaksikan Helviana (tepi kiri) dan Julfikrie (tepi kanan).
Sazali menyampaikan cenderahati kepada Madius sambil disaksikan Helviana (tepi kiri) dan Julfikrie (tepi kanan).

13 Januari 2026


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Keusahawanan Digital baru-baru ini sebagai usaha memperkasa mahasiswa dengan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan digital sejajar keperluan ekonomi semasa.


Bertempat di U-Science, UMS di sini, program tersebut merupakan anjuran kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman Antarabangsa Kingfisher UMS dan Smart Native Maker (SNM).


Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, penganjuran program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, malah berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai kesedaran sosial yang tinggi.

Para peserta program mengambil gambar kenangan bersama. Turut kelihatan Madius (duduk tengah) dan Sazali (duduk tiga kiri).
Para peserta program mengambil gambar kenangan bersama. Turut kelihatan Madius (duduk tengah) dan Sazali (duduk tiga kiri).

“Kemajuan ekonomi digital masa kini telah membuka pelbagai ruang dan peluang baharu merangkumi bidang e-dagang, kandungan kreatif, perkhidmatan digital, teknologi pendidikan dan inovasi kecerdasan buatan.


“Justeru melalui program ini, mahasiswa-mahasiswi didedahkan dengan ilmu dan maklumat penting bagi membangunkan potensi diri sebagai pencipta peluang, bukan sekadar pencari pekerjaan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah U-Science Md Sazali Md Salleh.


Dr Kasim berkata, inisiatif mahasiswa UMS menganjurkan program berimpak tinggi itu sangat bertepatan dalam memberi pendedahan kepada pembinaan minda usahawan, pengalaman industri, laluan kerjaya alternatif serta kemahiran penting bagi meningkatkan daya saing graduan dalam persekitaran ekonomi yang dinamik.

Sazali berucap mewakili Naib Canselor UMS.
Sazali berucap mewakili Naib Canselor UMS.

Katanya, program itu juga seiring dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) serta SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur).


“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah menyokong agenda pembangunan global yang menekankan akses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan beretika serta inovasi yang menyumbang kepada kemajuan masyarakat.


“Usaha mengintegrasikan elemen keusahawanan digital dalam ekosistem pembelajaran universiti diyakini mampu melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan serta berupaya memberi impak positif kepada komuniti dan negara,” tambahnya lagi.


Bertemakan Program Keusahawanan Digital sebagai Laluan Kerjaya: Dari Pencari Kerja kepada Pencipta Peluang, majlis perasmiannya disempurnakan Pengerusi POIC Sabah Sdn. Bhd merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.


Hadir sama Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan UMS, Dr. Thara Atikah Zainal; Pengarah Program Helviana Barbara dan Ketua Pegawai Eksekutif SNM, Julfikrie Muhaimin.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page