CEO INSKEN Terima Anugerah Antarabangsa Schwab Foundation di WEF 2026
- nabalunews
- 15 minutes ago
- 1 min read

13 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Viviantie Sarjuni, mencatat sejarah apabila diiktiraf sebagai penerima Anugerah Schwab Foundation bagi kategori Public Social Innovator of the Year 2026, sekali gus menjadi penerima pertama dari Malaysia bagi anugerah berprestij tersebut.
Pengiktirafan itu akan disampaikan di Davos, Switzerland sempena World Economic Forum Annual Meeting 2026, yang menghimpunkan pemimpin global dari pelbagai sektor termasuk kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan akademia.
Menurut kenyataan INSKEN, anugerah oleh Schwab Foundation for Social Entrepreneurship itu mengiktiraf kepimpinan Viviantie dalam menerajui pendekatan inovatif yang memacu penyelesaian berimpak tinggi terhadap cabaran sosial dan ekonomi.
Pengiktirafan berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan INSKEN dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara serta menyokong pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan dengan impak transformatif di peringkat nasional.
Seiring pengiktirafan tersebut, INSKEN dijadual menyertai perbincangan global di #WEF26 bersama pemimpin dari sektor kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan akademia bagi berkongsi pandangan serta pengalaman dalam memperkasa keusahawanan sosial dan inovasi awam.














