PH Sabah bentuk Jawatankuasa Khas kemuka strategi pemulihan, pembangunan semula SabahPH Sabah bentuk Jawatankuasa Khas kemuka strategi pemulihan, pembangunan semula Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH Sabah bentuk Jawatankuasa Khas kemuka strategi pemulihan, pembangunan semula Sabah


24 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk memperinci dan mengemukakan strategi-strategi pembangunan semula Sabah kepada Kerajaan Negeri serta mencadangkan kerjasama rentas politik bagi memfokus kepada pelaksanaan strategi-strategi itu.


Menurut kenyataan Majlis Pimpinan PH Sabah, aktiviti berpolitik samada di pihak Kerajaan atau Pembangkang ketika krisis hanya membantutkan apa yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.


“PH Sabah selaku gabungan parti yang berorientasikan polisi berpendapat semangat dwi-partisan seperti yang dimulakan di peringkat Kerajaan Persekutuan boleh dipanjangkan di peringkat Kerajaan Negeri supaya fokus boleh disatukan ke arah pemulihan dan pembangunan semula Sabah ketika ini.


“Ini termasuklah agenda reform demokrasi dan tadbir urus yang harus dilaksanakan sesuai dengan semangat dwi-partisan di peringkat Kerajaan Persekutuan yang kini sedang dilaksanakan termasuk perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.


“Mengambil ikhtibar daripada apa yang berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan di mana berlakunya pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam tempoh dua tahun semasa pandemik Covid-19 akibat aktiviti berpolitik di pihak Kerajaan dan terbaru di Melaka,” kata kenyataan itu, hari ini.


Majlis Pimpinan PH Sabah bermesyuarat malam tadi untuk membincangkan isu-isu rakyat berkaitan kesan pandemik Covid-19 dan perkembangan isu-isu politik semasa.


Menurut kenyataan itu lagi, PH Sabah percaya kestabilan politik di Sabah akan tergugat jika perkara yang sama menular ke dalam Kerajaan Negeri.


“Rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan masalah dalaman parti-parti pemerintah yang bertelagah secara terbuka,” katanya.

Majlis Pimpinan PH Sabah mengalu-alukan usaha program vaksinasi rakyat Sabah ke arah mengujudkan imuniti kelompok, bagaimanapun mereka berpendapat program vaksinasi hanya salah satu daripada strategi pemulihan.


“Kerajaan tidak boleh bergantung semata-mata kepada program vaksinasi tanpa mencetus kesegeraan merangka dan melaksanakan strategi-strategi pembangunan semula.


“PH Sabah berpendapat bahawa strategi pemulihan kesihatan awam, disusuli dengan pembangunan semula ekonomi dan infrastruktur di Sabah harus dirangka dan dilaksanakan segera.


“Kerajaan Negeri seharusnya memainkan peranan lebih pragmatik dan transparen berkenaan program pemulihan dan pembangunan semula kerana pandemik Covid-19 telah mengujudkan satu krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya menjadi kepentingan rakyat Sabah yang menagih perkhidmatan terbaik daripada Kerajaan,” katanya.


Menurut kenyataan itu, sehingga kini, Kerajaan Negeri belum lagi secara jelas tampil dengan strategi-strategi bagaimana untuk membangunkan semula ekonomi di Sabah.


“Ianya bukan lagi soal politik, tetapi kepentingan umum rakyat Sabah. Semua tenaga dan sumber yang ada sepatutnya digunakan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kesan krisis akibat pandemik Covid-19,” katanya.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Datuk Poon Ming Fung, Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu dan Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.

bottom of page