Piawaian baharu kawalan kualiti sungai akan diwujudkan - Fadillah
- nabalunews
- Aug 22, 2025
- 2 min read

22 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Piawaian baharu pelepasan efluen air sisa bandar dan luar bandar akan diwujudkan berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), antara lain bertujuan untuk memulihkan kualiti air sungai negara.
Keputusan tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bil. 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, pada Khamis.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, piawaian yang akan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa negeri itu merangkumi 11 parameter utama termasuk pH, BOD, COD, pepejal terampai, minyak dan gris, nitrogen, merkuri, warna dan sisa pepejal.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, beliau berkata kementeriannya akan menyelaras bengkel bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri bagi memperincikan piawaian pelepasan air dari sistem perparitan sebelum dilepaskan ke jajaran sungai.
“Kerajaan negeri juga disaran untuk mengaplikasikan teknologi tempatan NAHRIM, termasuk pengekstrak beban terampai, perangkap minyak dan gris berasaskan Internet of Things (IoT), serta sistem Intriguard untuk menanda rizab sungai dan mencegah pencemaran luar.
“Saya yakin langkah strategik ini akan memulihkan kualiti air sungai, memastikan kelestarian alam sekitar, menjaga kesihatan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta pencemaran global,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, katanya mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada Laporan Status Kualiti Air Sungai 2024 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurutnya, daripada 672 sungai utama dipantau, sebanyak 475 sungai iaitu 71 peratus berada dalam kategori bersih,170 sungai (25 peratus) sederhana tercemar, manakala 27 sungai (4 peratus) dikategorikan sebagai tercemar.
Jelasnya, antara parameter utama pencemar dikenal pasti ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Nitrogen Ammonia (AN), Jumlah Pepejal Terampai (TSS) dan Oksigen Terlarut (DO).















Comments