top of page

PIBG Platform Laksana Program Akademik

  • nabalunews
  • Feb 9
  • 2 min read

9 Februari 2026


KUNAK: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan penting sebagai jambatan penghubung antara pihak sekolah dengan ibubapa. Ia juga bertindak sebagai platform bagi merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum serta sahsiah pelajar.


Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif yang juga Adun Kunak, Dato Sri’ Anil Sandhu berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibubapa menjadi kunci kejayaan dalam usaha membentuk generasi pelajar yang berilmu, beradab, berdisiplin dan berdaya saing.


“PIBG bukan sekadar medan perbincangan dan pelaporan, malah menjadi platform terbaik untuk menyuarakan idea, pandangan serta cadangan konstruktif ke arah penambahbaikan pengurusan dan pembangunan sekolah. Saya percaya melalui perbincangan yang matang dan berhemah, segala perancangan yang dirangka akan memberi impak positif kepada warga sekolah”, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SK Mostyn 2026 yang diadakan di Dewan SD Guthrie pada Ahad, di sini.

Anil berkata, komitmen dan kerjasama berterusan pihak sekolah dan PIBG dapat memastikan kecemerlangan pendidikan murid-murid diperkukuh melalui hubungan erat yang terjalin seterusnya membentuk sahsiah, akademik dan jati diri pelajar secara holistik.


Turut sama di majlis itu, Guru Besar SK Mostyn, Noriani Hj.Manah, Pegawai Perhubungan Sekolah, Sarjan Shamsul Martin, Pengerusi PIBG, warga pendidik dan ibubapa.


Menurutnya, kejayaan pelajar dalam pendidikan bukan hanya terletak dibahu guru semata-mata, tetapi juga bergantung pada sokongan serta bimbingan dan perhatian berterusan ibubapa di rumah.


Dalam perkembangan lain, Anil berkata bantuan dana kepada setiap PIBG sekolah rendah dan sekolah menengah di daerah Kunak akan diagihkan seperti yang beliau telah janjikan dalam manifestonya semasa pilihanraya lepas dimana bantuan sumbagan peribadinya itu akan mula diagih selewatnya Mac ini dimana pihak PPD akan menyelaraskannya.


“Sebanyak RM20,000 akan diagihkan kepada setiap 15 buah sekolah rendah, manakala RM50,000 untuk tiga buah sekolah menengah di Kunak sebagai sumbangan membantu pihak PIBG menjalankan sebarang aktiviti dan program mereka”, katanya.


Sementara itu, beliau juga telah meninjau beberapa buah sekolah rendah di sini yang memerlukan perhatian kerajaan dalam memastikan pembangunan infra untuk keselesaan guru dan murid-murid termasuk di SK Skim Kokos, SK Kg.Selamat dan SK Mostyn.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page