Pihak swasta dan industri digalakkan sertai inisiatif Ihsan Rahmah – Armizan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pihak swasta dan industri digalakkan sertai inisiatif Ihsan Rahmah – Armizan


13 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Pihak swasta dan industri kini boleh menyumbang kepada usaha kerajaan dalam menangani kos sara hidup dengan menyertai inisiatif Ihsan Rahmah di bawah Konsep Payung Rahmah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.


Beliau berkata inisiatif Ihsan Rahmah membolehkan pihak swasta dan industri memperkenalkan program berbentuk ihsan kepada komuniti dan pekerja mereka seperti pemberian diskaun, rebat dan pulangan tunai.


"Ia merupakan permintaan daripada pihak swasta dan industri yang berminat untuk perkenal inisiatif berbentuk ihsan kepada masyarakat dan kakitangan mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini.


Beliau berkata kerajaan bersetuju untuk membuka ruang kepada pihak swasta dan industri untuk memperkenalkan program sendiri dengan berpandukan garis panduan pelaksanaan Konsep Payung Rahmah yang diperluaskan pada 2024.


Armizan berkata penyertaan pihak swasta dan industri itu berupaya memastikan agenda kerajaan dalam menangani cabaran kos sara hidup dapat memanfaatkan seluruh rakyat negara ini.


"Untuk tahun ini, peruntukan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan program Payung Rahmah, tetapi untuk mencakupi lebih 30 juta rakyat pastinya mustahil. Sebab itu kita buka penyertaan kepada pihak swasta dan industri," katanya.


Beliau berkata pada 2023, KPDN telah melaksanakan lima inisiatif di bawah Konsep Payung Rahmah iaitu Program Jualan Rahmah (PJR), Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah.


Mengenai PJR yang diperkenalkan Januari tahun lepas, Armizan berkata takwim PJR dimuat naik di portal rasmi KPDN https://www.kpdn.gov.my bagi membolehkan rakyat mengetahui tarikh dan lokasi PJR lebih awal.


"Kita juga bersetuju untuk tawarkan barangan basah di PJR, anjur Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) pada musim perayaan dan memperluaskan bazar Ramadan," katanya mengenai penambahbaikan PJR.


Sementara itu, Armizan berkata KPDN akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pengisian penuh terhadap perjawatan sedia ada untuk penguat kuasa.


Beliau berkata ketika ini jumlah anggota penguat kuasa KPDN sebanyak 2,200 orang di seluruh negara dan bilangan itu masih tidak mencukupi.


"Kita (KPDN) mohon JPA untuk benarkan kita buat pengisian penuh perjawatan sedia ada dalam waran. Kita bukan mohon untuk perjawatan baharu," katanya.


Armizan berkata sudah tiba masanya bilangan anggota penguat kuasa KPDN itu ditambah berdasarkan keadaan semasa serta mengambil kira faktor skop tugasan yang semakin meluas terutama apabila subsidi bersasar dilaksanakan tahun ini.


"Bahagian Penguatkuasa KPDN ini bertanggungjawab untuk menguatkuasakan 12 akta yang ada di bawah KPDN. Ini tanggungjawab yang besar," katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page