Pimpinan KBPJKKD Kota Belud Bertukar
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

16 Disember 2025
KOTA BELUD: Satu Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (KBPJKKD) Kota Belud telah berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, pada 10 Disember lalu.
Dalam majlis tersebut, Inspektor Jani Mainbar secara rasmi menyerahkan tanggungjawab beliau kepada penggantinya, Sub Inspektor Raman Abdul Sali. Jani telah diberi kepercayaan baharu untuk bertugas di IPD Beluran, Sandakan.
Majlis penyerahan tugas itu disaksikan oleh Asisten Superintendan Polis (ASP) Ahmad Fahtie, yang mewakili Ketua Polis Daerah Kota Belud.

Menurut kenyataan daripada Jani, beliau telahpun melaporkan diri untuk bertugas di IPD Beluran pada 15 Disember lalu.
Dalam pesanan perpindahannya, beliau menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai kanan, terutamanya Ketua Polis Daerah Kota Belud, atas segala bimbingan, tunjuk ajar dan kerjasama sepanjang beliau berkhidmat di IPD Kota Belud.
“Saya juga memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat apa-apa kekurangan, terkasar bahasa atau terlajak tutur kata sepanjang perkhidmatan saya di sini,” tambah beliau.
Jani turut melahirkan keyakinan bahawa KBPJKKD Kota Belud akan terus mencapai kecemerlangan di bawah kepimpinan baharu selaras dengan visi untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Sebagai info tambahan, peranan utama Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) ini memikul tujuh fungsi teras bagi memastikan keselamatan masyarakat iaitu, melaksanakan pencegahan jenayah secara proaktif melalui aktiviti rondaan dan pemantauan berterusan.
Memperkukuhkan hubungan polis-masyarakat sebagai teras utama konsep Polis Komuniti.
Menganjurkan program kesedaran awam yang menyeluruh merangkumi pencegahan penipuan (scam), penyalahgunaan dadah, dan jenayah siber.
Melaksanakan rondaan bersepadu dengan melibatkan badan sukarela seperti Rakan Cop dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).
Memberi fokus khusus terhadap pencegahan jenayah harta benda dan jenayah berkaitan kekerasan.
Menyampaikan khidmat nasihat keselamatan kepada orang awam dan komuniti peniaga.
Dan yang terakhir, berperanan sebagai pengumpul maklumat komuniti yang berharga untuk dijadikan sumber risikan bagi usaha pencegahan jenayah.
Dengan pertukaran pimpinan ini, diharapkan Bahagian JPJKK Daerah Kota Belud akan terus bergerak maju dan lebih berkesan dalam melindungi serta menjaga keamanan daerah di bawah pimpinan baharu.


















Comments