- Wartawan Nabalu News
Pindaan Akta 50 bakal selesai kemelut pendaftaran doktor perubatan melalui laluan parallel – Dr Dzulkefly
5 Mei 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir telah mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri yang bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan melalui laluan paralel.
Menurut Dr Dzulkefly, mesyuarat jemaah menteri bersetuju secara prinsip, dan Rang Undang-undang (RUU) pindaan tersebut akan dibentangkan dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024.
“Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan Tinggi telah mengemukakan secara bersama sebuah Memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Akta 50 pada hari ini.
“Cadangan ini bertujuan untuk menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran perubatan melalui laluan paralel (parallel pathway), dan memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Laluan paralel, yang melibatkan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program sarjana perubatan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan, bertujuan melahirkan lebih ramai pakar perubatan untuk memenuhi keperluan fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.
Pindaan ini memastikan kedua-dua laluan latihan kepakaran dilaksanakan dengan lebih teratur dari segi perundangan, membolehkan para doktor yang telah menamatkan program tersebut didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“KKM akan memastikan bahawa kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan, serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan ini dibuat nanti,” katanya.
Comentarios