top of page

"Pindaan MA63 Keutamaan No.1 UPKO" – Rogers

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


RANAU, 12 Ogos – Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau, Rogers Tiam, menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah amanah sejarah yang perlu dipikul setiap generasi, sambil menekankan bahawa usaha pindaan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan MA63 adalah matlamat nombor satu parti.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan rasmi sempena Perhimpunan Agung Tahunan (MAT) UPKO Pusat pada 10 Ogos lalu.


Menurutnya, memperjuangkan MA63 tidak bermakna menolak Malaysia, sebaliknya ia bertujuan memastikan negara terus berdiri di atas asas persetujuan asal para pengasasnya.


"Sabah tidak meminta sesuatu yang di luar kerangka Malaysia. Apa yang kita tuntut ialah penghormatan terhadap asas pembentukan Malaysia dan pelaksanaan hak yang telah dipersetujui. Mempertahankan MA63 bermakna kita mahu Malaysia terus kukuh berpaksikan kepada persetujuan asal," tegasnya.


Rogers menegaskan bahawa pendekatan perjuangan parti mestilah matang, berprinsip dan berasaskan fakta. Beliau mengingatkan agar isu MA63 tidak dijadikan sekadar slogan ketika musim pilihan raya semata-mata, sebaliknya pelaksanaannya mesti diterjemahkan secara nyata melalui dasar, perundangan, pentadbiran dan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah.


Tegas beliau lagi, MA63 bukan sekadar dokumen sejarah tetapi merupakan asas penting dalam memahami hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Ia juga menjadi rujukan kepada usaha memperkukuhkan semangat federalisme, keadilan pembangunan dan hak-hak yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.


Dalam pada itu, Rogers menyeru seluruh anggota dan pimpinan UPKO agar terus memperkukuhkan kesatuan dan memperjelas pendirian parti, bagi memastikan perjuangan hak Sabah sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat serta tidak mengorbankan semangat perpaduan dan keharmonian Malaysia.


"Hanya melalui pindaan perlembagaan yang menyeluruh, hak-hak Sabah dapat dipulihkan dan dijamin untuk jangka masa panjang. Kita hormati sejarah, kita pertahankan perjanjian, kita perjuangkan hak Sabah, dan kita kukuhkan Malaysia," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page