Ping Pong Pacu Potensi Pelajar Kota Marudu
- nabalunews
- Apr 17, 2025
- 1 min read

17 April 2025
KOTA MARUDU: Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Marudu 2025 yang berlangsung pada 15 April telah membuka tirai dengan penuh semangat di Akademi Ping Pong MULOK (MTTA). Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UPKO Malaysia.
Dengan kehadiran pelajar-pelajar yang menyertai kejohanan, ibu bapa, para guru, jurulatih serta pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Marudu, majlis tersebut diterangi dengan laungan semangat "KITA BOLEH" yang menyemarakkan lagi suasana pertandingan yang berlangsung.
Dalam ucapan perasmiannya, Jamil menekankan pentingnya pembangunan sukan ping pong sebagai platform mencungkil bakat-bakat muda dari daerah tersebut. Beliau turut menyampaikan sumbangan dana sebagai tanda sokongan berterusan kepada usaha memajukan sukan di peringkat akar umbi.

“Saya mengharapkan agar melalui kejohanan ini akan dapat melahirkan bakat muda dari daerah ini yang akan mencipta nama melalui kejuaraan di peringkat nasional,” ujar beliau.
Sumbangan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga dalam bentuk kehadiran fizikal dan sokongan moral yang kuat kepada penganjur serta para peserta muda. Ini menunjukkan komitmen UPKO khususnya di peringkat Kota Marudu dalam memperkukuh aktiviti pembangunan belia dan sukan tempatan.
Kejohanan ini juga menjadi platform bagi memperkukuh hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam usaha membentuk generasi muda yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing.
Dengan berlangsungnya kejohanan ini, Kota Marudu sekali lagi membuktikan bahawa mereka serius dalam memperkasakan bidang sukan sebagai salah satu cabang pembangunan modal insan daerah.















Comments