Pinjaman DAYANG untuk usahawan wanita muda: Taitim
- nabalunews
- Jun 5
- 2 min read

5 Jun 2025
TENOM: Pakej Pinjaman dibawah Program Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri melalui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) khas untuk wanita muda adalah satu langkah inovatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan wanita secara khusus.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah Datuk Taitim Tulas berkata, pakej itu dirangka untuk menyediakan akses kepada modal yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pinjaman Sabah, dengan ciri-ciri pembiayaan yang fleksibel dan menyokong pembangunan kemahiran pengurusan kewangan dalam kalangan penerimanya.
Katanya, usahawan wanita di Sabah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi negeri.
Namun begitu, mereka sering berdepan dengan pelbagai cabaran seperti akses yang terhad kepada sokongan, latihan keusahawanan, dan jaringan profesional.
"Justeru itu, Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah diwujudkan dengan tujuan untuk meningkatkan kapasiti, pengetahuan, dan jaringan keusahawanan dalam kalangan wanita muda Sabah" katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah:
Kuasa Wanita Kuasa Ekonomi Siri Jelajah Program Keusahawanan Wanita Muda di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini pada Rabu.
Program dirasmikan oleh Pengarah Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun Banir.
Taitim berkata, program ini menawarkan pelbagai bentuk sokongan termasuklah bimbingan secara langsung, latihan keusahawanan, serta akses kepada kemudahan modal yang fleksibel.
"Ia juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah ke seluruh Sabah yang bertujuan menyentuh hati dan minda para usahawan wanita muda di peringkat akar umbi" katanya.
Jelasnya, secara khusus, program ini digariskan dengan tiga objektif utama iaitu menyediakan platform jaringan atau "networking" yang berkesan bagi membolehkan usahawan berkongsi pengalaman, idea dan mewujudkan kolaborasi strategik.
Memberi akses kepada pelbagai maklumat, peluang dan bantuan yang dapat membantu mereka memperluas serta memperkukuh perniagaan.
Dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan literasi digital, terutamanya dari aspek pemasaran dan keselamatan digital – seiring dengan keperluan ekonomi desa yang semakin berorientasikan teknologi.
Menurut Taitim, kelebihan utama pakej ini ialah ia mengutamakan aspek pendidikan kewangan di samping pembiayaan, bagi membina disiplin dan kemahiran pengurusan kewangan yang mantap.
Dalam tempoh tertentu katanya, pinjaman ini tidak dikenakan sebarang faedah atau caj keuntungan.
Ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan permulaan usahawan.
Comentarios